Samseng Sudah Kena Tahan

TERKINI
November 17, 2017 - 04:03 PM


Susulan kejadian seorang lelaki ditumbuk oleh pelanggan yang berkeras mahu memotong barisan bagi mendapatkan kasut edisi khas keluaran jenama Adidas di sebuah pusat beli belah di ibu kota, polis telah berjaya menahan suspek di rumahnya di Batu Caves, malam semalam, lapor Utusan Malaysia. 
 
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, suspek dikesan melalui telefon bimbit seorang rakannya dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 12 malam tadi untuk diambil keterangan. 
 
 
"Suspek akan dituduh esok dan dalam rakaman percakapan yang dilakukan, suspek mengaku telah menumbuk mangsa di bahagian hidung kerana berebut giliran untuk mendapatkan kasut yang ditawarkan syarikat kasut berjenama edisi khas tersebut. 
 
"Selain itu, suspek juga didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan bersabit laporan KLIA Sepang/10163/15," katanya. 
 
Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek, negatif. 
 
Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, suspek menumbuk seorang lelaki berusia 22 tahun yang menegur tindakan suspek dan kumpulannya cuba memotong barisan ketika beratur untuk membeli kasut bernilai RM1,150 di Suria KLCC.
 
Berang ditegur, suspek terus bertindak menumbuk muka mangsa sehingga patah tulang hidung dan lebam mata kiri.
 
Sumber dari
TheReporter.my