[VIDEO] "Siap Bertudung Semata Nak Mengintai Perempuan!" - Lelaki Rekod Video Wanita Dalam Tandas Pasar Raya Kena Cekup

TERKINI
October 23, 2023 - 01:37 PM


Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai mengintai seorang wanita di tandas sebuah pasar raya di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor pada Ahad (22 Oktober).

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian itu berlaku kira-kira 11 pagi, sebelum lelaki berusia 23 tahun itu diserahkan oleh orang awam kepada pihak polis.

"Hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan reman atas suspek juga akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Johor Bahru hari ini, untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara serta sebarang maklumat kejadian hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut," tambahnya.

Semalam, tular sebuah video berdurasi dua minit 11 saat yang memaparkan seorang lelaki 'bertudung' memasuki tandas wanita, sebelum perbuatannya itu berjaya dikesan lalu 'ditangkap' oleh orang awam serta 'disoal siasat' oleh seorang wanita dipercayai mangsa, di pasar raya berkenaan.

Destination: