"Saya & Pasukan Keselamatan Buat Perisai Manusia Lindungi Keluarga" - TMJ Kongsi Detik-Detik Cemas Insiden Tembak Di Siam Paragon

TERKINI
October 04, 2023 - 12:39 PM


Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkongsi detik cemas bersama pasukan keselamatannya terpaksa membuat perisai manusia bagi memastikan keselamatan keluarga serta pegawai beliau, susulan insiden tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok, Thailand, petang semalam.

Dalam serangan itu, suspek bersenjatakan pistol melepaskan tembakan rambang sehingga meragut dua nyawa dan mencederakan lima lagi.

Pihak berkuasa Thailand dilapor menahan seorang remaja berusia 14 tahun berikutan kejadian terbabit.

Ketika kejadian, Tunku Ismail berkata, orang ramai dari pusat beli-belah itu menjerit serta berlari masuk ke dalam hotel di mana beliau bersama keluarga, pasukan keselamatan dan pegawainya sedang duduk di lobi.

"Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.

"Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan kedengaran.

"Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku," katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi, HRH Crown Prince of Johor.

Sepanjang berdepan situasi itu, Tunku Ismail memberitahu anak-anaknya bahawa keadaan akan kembali baik.

"Saya memberitahu anak-anak 'semuanya akan kembali okay. Babah dan mama ada di sini', dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.

"Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku.

"Apa yang difikirkan saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis," katanya.

Tunku Ismail berkata, pasukan keselamatan diarah membawa kereta ke ruang bawah tanah untuk membawa mereka ke lokasi yang selamat dan jauh dari tempat kejadian.

Beliau dan pasukan bergerak menuju ke Kedutaan Singapura selepas menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.

"Saya memberitahu mereka (pasukan keselamatan) untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, namun pemandu memaklumkan Kedutaan Singapura lebih dekat," katanya.

Tunku Ismail turut menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk memaklumkan apa yang berlaku selepas selamat berada di kedutaan dan Duta Besar Malaysia turut berada bersama mereka.

Meskipun terlepas menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail bersyukur keluarga dan pasukannya selamat, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai pengalaman terburuk pernah dilaluinya.

"Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua," katanya.

Menerusi ciapan di X pada jam 3.22 pagi tadi, Tunku Ismail menyatakan mereka selamat mendarat di Johor.

"Landed in Johor. Home sweet home. Alhamdulillah," katanya ringkas, dengan netizen turut memanjatkan kesyukuran mereka.

Sumber: Berita Harian & Kredit Gambar: AFP

Destination: