"Serabut Kerap Sangat Bergaduh" - Shila Amzah Reda Ibu Bapa Bercerai

TERKINI
August 10, 2023 - 04:15 PM


Penyanyi terkenal, Shila Amzah baru sahaja melangsungkan perkahwinannya bersama pempengaruh media sosial, Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, dalam majlis persandingan yang berlangsung di Ampang 5 Ogos lalu.

Namun di sebalik kebahagiaan tersebut, Shila akur selepas ibunya iaitu Fauziah Sarman mendedahkan sudah bercerai dengan Datuk ND Lala baru-baru ini.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 33, kelihatan bahagia di sisi suami apabila membuat video siaran langsung (live) di TikTok pada malam Rabu. 

Dia berkata sebagai anak dia tidak mampu memaksa ibu bapanya terus bersama susulan mereka berdepan dengan pelbagai kemelut rumah tangga sebelum ini. Pada tahap ini, dia berharap perpisahan itu akan memberi kebahagiaan kepada ibu bapanya selepas ini.

"Anda semua janganlah risau akan makan saya, doakan yang baik-baik. Sebab pada akhirnya, orang nak bercerai ke, kahwin ke, itu semua jodoh.

"Kita sebagai anak takkan nak paksa mereka bersama. Anak-anak semua dah besar. Suka hati merekalah. Pergilah cari masing-masing punya kebahagiaan" kata Shila.

Semasa live berkenaan, Shila dan Ubai menerima pelbagai pertanyaan daripada followers mereka berhubung rumah tangga Fauziah dan ND Lala.

Dalam pada itu, Shila berkata sebagai anak sudah semestinya dia sedih dengan penceraian ibu bapanya itu. Bagaimanapun, dia percaya perpisahan yang berlaku adalah terbaik buat kedua-duanya selepas sudah cuba menyelamatkan perkahwinan tersebut.

"Tipulah kalau anak-anak tak sedih tapi pada masa sama, kami pun serabut tengok mereka bergaduh. Jadi lantaklah mereka. Mereka tak boleh nak buat apa. Kalau setakat itu, setakat itu sajalah (jodoh). Mereka sudah cuba" tambahnya.

Sementara itu, Ubai sebagai menantu pula meminta orang ramai agar mendoakan kebahagiaan kedua-dua mentuanya itu dan mengharapkan doa orang ramai memberi sokongan kepada keluarga mereka.

Pada pagi Rabu, Fauziah berkongsi sudah bercerai menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya bagi mengelak kekeliruan mengenai status mereka.

Kata Fauziah, ND Lala telah melafazkan talak terhadapnya di Masjid Ar-Rahman, Bangsar pada 2 Ogos lalu dan hanya memaklumkan menerusi aplikasi Whatsapp pada Selasa lalu.

Sumber berita : MStar