Sewa Kereta Untuk Tidur, Trend Pelik Di Jepun

July 18, 2019 - 02:34 PM


Dengan lambakan syarikat menawarkan perkhidmatan sewaan kereta serta kemudahan yang ditawarkan dengan hanya perlu menggunakan aplikasi telefon pintar, tidak hairanlah proses untuk menyewa kenderaan untuk jangka masa pendek menjadi sangat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dan dimana sahaja.

Ada sesetengah orang lebih gemar memandu sendiri dan mahukan privasi, jadi salah satu pilihan yang ada adalah menyewa dan memandu sendiri kenderaan.

Namun, satu trend pelik muncul di Jepun bila mana kebanyakan pelanggan menyewa kenderaan bukan untuk dipandu tetapi hanya untuk tidur atau rehatkan diri mereka.

Perkara ini didedahkan melalui tinjauan yang dilakukan oleh salah satu pengusaha kereta sewa di Jepun dan mendapati banyak kereta yang disewa mencatatkan perjalanan yang rendah, ada sesetengah daripada kereta tersebut langsung tidak dipandu!

NTT Docomo mendedahkan, kajian yang mereka lakukan tahun lalu mendapati satu per lapan orang pelanggan mereka menyewa kereta bukan untuk tujuan pengangkutan malah sebahagian besar daripada pelanggan mereka menyewa kenderaan hanya untuk berehat didalamnya mahupun tidur. Ada juga menjadikan tempat mesyuarat, berbual dan lain-lain lagi.

Paling pelik, ada yang sanggup menyewa kereta hanya untuk menikmati makanan didalamnya, menonton siri kegemaran mereka dan mengecas telefon!

Menurut salah seorang pelanggan, harga sewaan kereta adalah lebih kurang sama dengan harga tidur di kafe siber. Jadi, ramai yang memilih tidur di dalam kereta kerana suasana yang lebih selesa dan sunyi berbanding di kafe siber.

Selain boleh dipandu, kelebihan sewaan kereta adalah murah dan mudah untuk didapati selain pelanggan boleh menempah kenderaan hanya dengan menggunakan aplikasi di telefon pintar masing-masing.

Difahamkan, harga sewaan kereta untuk 30 minit adalah hanya 400 yen (RM15) dan kereta akan dihantar ke mana-mana tempat letak kereta yang terdapat di seluruh Jepun.

Pilik sungguh trend mereka ni. Jangan ada pelancong Malaysia buat perkara sama sudah.

Destination: