Tak Boleh Ambil Gambar & Video Dalam Pesawat Garuda Indonesia?

TERKINI
July 17, 2019 - 02:15 PM


Sehari dua ini ramai penumpang Garuda Indonesia yang tidak berpuas hati dan mengecam keputusan syarikat penerbangan kebangsaan negara jiran itu, selepas mereka dikatakan tidak lagi dibenarkan untuk mengambil gambar atau merakam video di dalam pesawat.

Larangan tersebut diketahui ramai selepas surat pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan tertinggi Garuda Indonesia bertarikh 14 Julai 2019 telah viral di media sosial.

Peraturan baharu itu katanya diluluskan demi untuk menjaga tatatertib krew kabin, kelancaran layanan kepada penumpang sepanjang penerbangan serta menghormati hak-hak penumpangnya.

Surat tersebut mengandungi 3 perkara utama iaitu:

1. Penumpang dan krew kabin tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pendokumentasian berbentuk gambar atau video segala aktiviti di dalam pesawat.

2. Krew kabin harus tegas dalam menyampaikan larangan tersebut kepada penumpang kecuali setelah mendapat keizinan daripada pihak syarikat penerbangan.

3. Syarikat penerbangan berhak membuat sekatan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap larangan tersebut.

Bagaimanapun semalam CNN Indonesia melaporkan bahawa Naib Presiden Setiausaha Korporat Garuda Indonesia, M.Ikhsan Rosan menjelaskan surat larangan tersebut sebenarnya belum muktamad dan hanya untuk pemberitahuan kepada pihak kakitangan syarikat sahaja.

Malah surat itu juga adalah sulit dan bukan untuk edaran orang ramai.

Menurut Ikhsan, Garuda Indonesia telah membuat keputusan akhir untuk membenarkan penumpang mengambil gambar bagi simpanan peribadi mereka seperti swafoto, namun harus tetap menghormati privasi penumpang lain dan krew kabin yang sedang bertugas.

P/S: Aduh, macam mana la surat berstatus sulit boleh bocor ... kan dah bikin kecoh. Nasib boleh selfie lagi kan..hehehe

 

 

Destination: