Selepas Garuda, Lion Air Pula Keluarkan Larangan Bergambar Dalam Pesawat!





Sebaik sahaja syarikat penerbangan Garuda Indonesia mengeluarkan larangan bagi membuat sebarang rakaman sewaktu di dalam kabin, syarikat penerbangan kos rendah Lion Air kini mengikut langkah yang sama.

Menurut jurucakap Lion Air, Danang Mandala Prihantoro, jika seseorang individu itu mahu membuat sebarang rakaman sewaktu penerbangan, mereka perlu mendapatkan persetujuan dari pihak atasan terlebih dahulu untuk dipertimbangkan.

Danang turut memberitahu bahawa dasar itu dilaksanakan atas faktor keselamatan, namun ia tidak dijelaskan apakah skala dasar tersebut, sama ada ia termasuk penumpang mengambil gambar swafoto di dalam kabin.

Kekecohan mengenai wujudnya larangan bergambar dan merakam video bermula apabila pasangan video blogger (vlogger) dari Indonesia, Rius Vernandes dan Elwiyana Monica, yang menggunakan saluran YouTube mereka untuk mengkritik perkhidmatan ‘business class’ Garuda Indonesia.

Menerusi video yang dimuat naik Rius, dia mendakwa telah disajikan menu ditulis tangan selain diberitahu yang minuman wain telah habis ketika menaiki penerbangan itu dari Sydney ke Denpasar.

"Penumpang di hadapan saya diberi menu seperti ini, saya keliru mengapa kami diberi menu seperti ini," kata Rius yang mempunyai seramai 491,000 pengikut di YouTube.

Ekoran itu, jurucakap Garuda Indonesia, Ikhsan Rosas menafikan bahawa penumpang ‘business class’ telah menerima senarai tulisan tangan sebagai menu rasmi, menurut laporan portal Kompas.

Pada Selasa, Garuda mengeluarkan kenyataan merayu dan meminta penumpang agar tidak mengambil gambar atau video atau terlibat dalam apa jua aktiviti merakam semasa penerbangan.

Namun dalam siaran akhbar pada hari sama, syarikat penerbangan itu berkata "penumpang masih boleh mengambil gambar untuk kegunaan peribadi seperti mengambil gambar diri sendiri selagi ia tidak mengganggu keselesaan atau mencederakan penumpang lain."

Sementara itu, dua vlogger tersebut boleh dihadapkan atas tuduhan fitnah di bawah undang-undang Transaksi Elektronik yang ketat di negara itu.

Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan mereka sedang menyiasat perkara itu.

Sumber: Astro Awani

Baca juga : Tak Boleh Ambil Gambar & Video Dalam Pesawat Garuda Indonesia?

;