"Takda Duit, Takda Ambulans" - Bapa Terpaksa Bawa Mayat Anak Dalam Beg Naik Bas

TERKINI
May 19, 2023 - 05:48 PM


Paras kemiskinan di India bukan lah satu perkara yang baru. Akibat kemiskinan, seorang bapa di India terpaksa menempuh perjalanan 200 kilometer dengan menaiki bas bersama mayat anaknya yang berusia lima bulan di dalam beg hanya kerana tidak mampu membayar tambang ambulans.

Insidien sayu itu berlaku negeri Bengal Barat pada Ahad lalu. Ashim Debsharma  menaiki bas selepas pemandu ambulans meminta bayaran 8,000 rupee (RM439.50) untuk membawa dia dan mayat anaknya pulang dari Siliguri ke Kaliaganj.

“Anak lelaki saya berusia lima bulan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital dan Kolej Perubatan Bengal Utara (NBMCH) di Siliguri selama enam hari. Saya membelanjakan 16,000 rupee (RM879) untuk rawatan tersebut,” katanya.

Menurut Ashim, pemandu ambulans meminta tambang 8,000 rupee untuk membawanya pulang ke rumah. Oleh kerana wangnya tidak cukup, dia memasukkan mayat anaknya ke dalam beg dan menaiki bas untuk  pulang ke Kaliaganj.

Lelaki tersebut berkata, dia menghubungi perkhidmatan ambulans di nombor 102, namun diberitahu bahawa kemudahan percuma itu hanya untuk pesakit dan bukan penghantaran mayat, lapor portal berita NDTV.

Ashim menaiki bas tanpa meminta bantuan daripada penumpang atau kakitangan kenderaan itu kerana bimbang jika mereka menemui mayat anaknya, dia akan diminta  turun daripada  bas  tersebut.

Pihak berkuasa hospital bagaimanapun berkata, dia tidak menghubungi pihak pengurusan untuk mendapatkan ambulans.

“Pihak NBMCH tidak mempunyai kenderaan jenazah sendiri tetapi jika keluarga kurang berkemampuan memintanya, kami akan mengaturkannya melalui jawatankuasa kebajikan pesakit,” kata Penguasa hospital itu, Dr. Sanjay Mallik seperti dilaporkan akhbar Hindustan Times. – Agensi

Destination: