Teksi Elektrik 'Big Blue' Warnai Kuala Lumpur, Ogos Ini

TERKINI
July 18, 2019 - 07:12 PM


Wah, tak lama lagi buat pertama kalinya kita akan nampak teksi-teksi elektrik menyusuri jalan-jalan raya di sekitar ibu negara!

Ini kerana syarikat perkhidmatan teksi, Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd (Big Blue) dijangka menggunakan 100 unit teksi elektrik mulai Julai atau Ogos ini, sebagai permulaan operasinya.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsubahrin Ismail pihaknya kini sedang dalam usaha menandatangani kontrak dengan syarikat tempatan untuk proses pemasangan kenderaan itu dan jika berjaya dijangka sebanyak 5,000 unit teksi lagi akan dikeluarkan.

Seiring dengan perkhidmatan teksi terbaharu itu, satu sistem kaunter layan diri Big Blue Teksi akan diletakkan di kawasan tumpuan awam termasuk hotel dan kawasan tarikan pelancongan.

Malah, pihak Big Blue juga sedang mengadakan perbincangan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad Malaysia (MAHB) untuk mewujudkan kawasan khas kaunter itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan cadangan pemasangan antara 100 dan 200 unit kaunter di situ.

Ia bagi memudahkan para pengguna dan pelancong menempah perkhidmatan teksi tersebut.

Teksi elektrik berkenaan sepatutnya dilancarkan pada bulan Mei lalu, namun terpaksa dilanjutkan berikutan beberapa proses yang perlu dipatuhi seperti proses mendapatkan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan faktor teknikal yang memerlukan kelulusan pihak berkaitan.

P/S: Agak-agaknya berapa tambang teksi elektrik ni kan? Harap janganlah mahal nau nau...hehehe

Sumber: BERNAMA