Tempat Percutian Terpencil Di Malaysia, Selamat Atau Tidak?

TERKINI
August 15, 2019 - 06:29 PM


Destinasi pelancongan di Malaysia memang bertaraf berbintang-bintang, tapi berapa bintang untuk aspek keselamatan?

Pernah atau tidak persoalan itu terlintas di fikiran anda sebelum memilih tempat percutian terutama resort, homestay atau glamping  terpencil yang pastinya menawarkan ketenangan dan kedamaian kepada tetamunya?

Baru-baru ini negara kita, bahkan tak keterlaluan dikatakan di seluruh dunia gempar dengan kes kematian warganegara luar yang ditemui mati ketika melancong ke beberapa destinasi percutian di Malaysia.

Ia sekaligus membuka mata kita mengenai sejauh manakah aspek keselamatan sesebuah lokasi percutian, terutama di kawasan sunyi dan terpencil yang semakin digilai oleh para pelancong luar.

Jika anda buka laman-laman tempahan online untuk tempat percutian ala-ala eko-pelancongan ni, siapa yang tak tertawan melihat gambar-gambar pemandangan yang indah, bilik penginapan yang luas dan mendamaikan, siap dengan senarai fasiliti, aktiviti serta perkhidmatan menarik yang ditawarkan.

Tapi perasan tak, jarang sekali atau sebenarnya hampir tiada pula resort yang menyenaraikan sama ada mereka mempunyai ciri-ciri keselamatan setaraf bintang mereka seperti :-

1. Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih banyak & berfungsi sepanjang masa.

2. Penempatan sekuriti atau pegawai keselamatan.

3. Rondaan berkala oleh pihak berkuasa seperti polis atau polis pelancong.

4. Pekerja / staff yang berpengetahuan tentang nombor kecemasan dan mengenalpasti situasi berbahaya.

5. Penyediaan tempat letak kereta atau laluan jalan yang terang dengan papan tanda yang jelas.

6. Penarafan ‘Bintang Keselamatan’ oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Korang nak tak jika semua cadangan di atas dipaparkan oleh pihak pengusaha resort, homestay atau glamping yang beroperasi di Malaysia?

Bukankah dengan paparan aspek keselamatan ini akan memberi lebih kredit dan tahap keyakinan yang tinggi kepada bakal tetamu untuk menginap di sesebuah tempat percutian itu?

Perlu Ada Tambahan Bintang 'Safety' Di Laman Web Tempat Percutian

Lebih menarik sekiranya selepas ini setiap laman web seperti Booking.com, Tripadvisor, Agoda dan sebagainya mewujudkan satu ‘Butang Keselamatan’ atau Safety Button dalam pemberian bintang terhadap aspek keselamatan di paparan iklan masing-masing.

Memang benar orang kata, "malang tak berbau" tetapi tak salah kalau kita "sediakan payung sebelum hujan" bagi mengelak perkara yang tidak diingini berulang lagi di masa akan datang, lebih-lebih lagi apabila tahun depan negara kita bakal melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 2020!