Tunggang Penyu Bergilir-Gilir, Tindakan Kejam Penduduk Di Indonesia Dikecam!

TERKINI
July 11, 2019 - 12:32 PM


Kejam dan tidak berperikemanusiaan!

Itu yang dapat digambarkan terhadap perbuatan sekumpulan penduduk di sebuah pantai di Indonesia yang menunggang seekor penyu belimbing gergasi ketika haiwan yang semakin pupus ini sedang berusaha kembali semula ke dalam laut selepas bertelur di pantai.

Dalam satu rakaman video yang disiarkan Daily Mail, menunjukkan penyu berkenaan ditangkap oleh beberapa penduduk tempatan sebelum mereka bertindak duduk secara bergilir-gilir di atas belakang haiwan tersebut.

Ada yang duduk sambil memakan snek, malah lebih kejam apabila 2 pemuda duduk serentak di belakangnya dengan kaki diletakkan di atas kepala penyu manakala seorang lagi dilihat mendukung anak kecil.

Tindakan tak berhati perut itu mendapat kecaman dan kritikan daripada aktivis pencinta haiwan.

Bagaimanapun, setakat ini pihak berkuasa tempatan Indonesia belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut.

Seharusnya penduduk di Indonesia bersyukur kerana penyu belimbing yang merupakan antara spesies haiwan terancam masih lagi naik ke pantai mereka untuk bertelur, sedangkan kita di Malaysia atau lebih tepat di Terengganu mendapati penyu jenis berkenaan sudah tidak lagi mendarat, dengan kali terakhir dilihat mendarat di Rantau Abang pada 2017.

Oleh itu menurut Harian Metro semalam, ada cadangan untuk Jabatan Perikanan Terengganu membeli telur penyu belimbing dari luar negara seperti Papua New Guinea, sebagai langkah terakhir bagi memastikan haiwan itu kembali mendarat di pantai negeri ini. 

P/S: Penyu merupakan spesies haiwan yang dilindungi, jadi ingat ya jangan kata nak menunggang even nak sentuh penyu pun sebenarnya kita tak dibenarkan tau!

 

Destination: