[VIDEO] 'Banjir Sardin' - Lebuh Raya PLUS Arah Selatan Dari Terowong Ke Ipoh Sesak 3 KM
TERKINISebuah lori membawa muatan tin sardin terbalik di Kilometer 265.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, dekat Kuala Kangsar pada petang Rabu (3 Ogos) -- menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih 3 kilometer.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang itu menyebabkan lori berkenaan merintangi laluan dengan muatan yang dibawa bertaburan di atas lebuh raya.
Menurutnya, laluan berkenaan telah ditutup sepenuhnya dan kenderaan dari arah utara telah dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar sementara kerja-kerja pengalihan dilakukan.
“Pihak kami sedang membantu untuk penyuraikan dan mengarahkan kenderaan untuk mengikut jalan lama dari tol Kuala Kangsar ke Sungai Siput, untuk ke Ipoh,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, polis telah ditempatkan di lokasi kejadian bagi membantu kawalan aliran trafik untuk mengelak kesesakan lebih teruk.
Sementara itu, Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada 1.24 petang memberitahu, laluan kontra telah dibuka di Kilometer 267.0 hingga 265.1 arah utara bagi mengurangkan kesesakan.
Menurutnya, trafik masih bergerak perlahan dan pengguna diminta mematuhi papan tanda.
12:55hrs Kemalangan km 265.9 arah Selatan dari Terowong ke Ipoh (U). Semua lorong terhalang. Trafik terhenti. Sila guna laluan alternatif. @LLMinfotrafik
— plusline1800880000 (@plustrafik) August 3, 2022
Dalam pada itu, dalam satu video berdurasi 43 saat yang dikongsi di media sosial menunjukkan ribuan tin dan isi sardin bertaburan atas jalan.
Laluan lebuh raya juga bertukar warna kemerahan apabila sebahagian besar tin sardin kemek dan pecah dilanggar kenderaan yang lalu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pula berkata, mereka turut menerima maklumat mengenai kemalangan itu tetapi tiada operasi menyelamat dijalankan kerana tidak melibatkan mangsa.