[VIDEO] Hanya Kerana Tampal Stiker Tak Ikut Spesifikasi, OKU Ini Dikompaun Di Pantai Morib!

TERKINI
December 07, 2022 - 03:05 PM


Hanya gara-gara keretanya ditampal dengan stiker OKU yang berbeza spesifikasi daripada yang diselaraskan di Selangor -- kenderaan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) telah dikompaun oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Pantai Morib, Banting pada Ahad lepas.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai roslanjajuli di laman TikTok, menganggap surat kompaun berkenaan sebagai satu perbuatan yang disengajakan bagi mengaut keuntungan.

Lelaki berkerusi roda itu turut berkata, ia merupakan kali pertama dalam sejarah hidupnya disaman hanya kerana tidak meletakkan kenderaan di ruangan parkir OKU.

Meskipun posisi kenderaan itu diletakkan dalam ruangan yang betul, lelaki berambut panjang dan berbaju biru itu terpaksa menanggung kerugian denda sebanyak RM300.

@roslanjajuli Saman #saman #samanparking #morib #majlisperbandaran ♬ original sound - roslanjajuli

Dikongsikan di laman TikTok peribadi, rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet.

Susulan kejadian itu, pegawai media MPKL berkata, terdapat salah faham berhubung isu saman tersebut.

"Ia merupakan isu pelekat kereta OKU sebenarnya, kalau di negeri Selangor semua penggunaan pelekat OKU telah diselaraskan dengan bentuk dan rekaan yang sama, jadi jika ada yang berlainan ia satu kesalahan.

"Namun insiden itu bukanlah seperti yang diperkatakan netizen di laman media, sebaliknya surat kompaun yang diberikan merupakan peraturan yang ditetapkan," katanya. 

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak majlis, semakan dijalankan mendapati kenderaan tersebut telah menggunakan pelekat OKU yang berbeza berbanding versi dikeluarkan JPJ dan bukan yang diluluskan oleh Kerajaan Selangor.

Bagi memastikan layanan yang adil kepada semua pihak, adalah menjadi kewajipan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan ke atas kereta pemuda terbabit.

Namun, difahamkan kompaun tersebut boleh dibatalkan sekiranya pihak terlibat dapat mengesahkan status OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, menerusi video berasingan lelaki berkenaan memaklumkan kompaun yang dikeluarkan telah dibatalkan dan dia juga turut diberikan pelekat kenderaan baharu mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menyampaikan ucapan terima kasih berhubung tindakan tersebut, lelaki itu turut meminta agar perkara berkenaan dikongsikan secara meluas supaya orang ramai lebih peka dengan peraturan terbabit.

@roslanjajuli Batal saman #majlisperbandaran #samanparking #oku #majlisperbandarankualalangat #selangor ♬ original sound - roslanjajuli

Sumber: Majoriti

Destination: