[VIDEO] Sejam Kena 'Sidai' Tunggu Burger, Bila Dapat Pula Daging Burger Mentah. Rupanya Ramai Kena Nasib Sama!

TERKINI
December 05, 2022 - 11:27 AM


Sudahlah nak dapat burger kena tunggu hampir sejam, bila dah makan daging burger pula belum masak dan masih mentah!

Itu kekecewaan yang dialami oleh seorang pelanggan restoran McDonald's selepas pesanan makanan yang diterima tidak menepati cita rasa dan kualiti yang dijanjikan.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah cawangan premis makanan segera di Selangor itu didakwa telah menyajikan hidangan daging separuh masak yang masih mentah kepada pelanggannya.

Menurut perkongsian seorang individu dikenali sebagai ariffeuer di TikTok, situasi itu nyata mengundang kemarahan dan kekecewaannya kerana harga hidangan tersebut agak mahal.

@ariffeuer Apa benda ni @McDonald's Malaysia? Bayar pakai duit tau. #fyp #foryourpage #mcdonalds ♬ original sound - ariffeuer

Dikongsikan di laman TikTok, video itu hangat diperkatakan warganet dan menerima 1.4 juta jumlah tontonan setakat ini.

Difahamkan, pesanan makanan tersebut juga lewat diterima dan lelaki berkenaan mendakwa terpaksa menunggu hampir sejam di premis tersebut.

Meskipun premis berkenaan merupakan restoran yang berkonsepkan makanan segera, kualiti dan servis dipamerkan didakwa gagal mencapai standard jenama terkemuka di Malaysia.

Lebih memalukan, perkongsian tersebut turut mendapat sokongan warganet yang rata-ratanya pernah menghadapi nasib sama.

“Pernah kena juga masa beli di cawangan sama, saya beli set dapat kentang tapi macam minggu lepas punya yang mereka bagi,” kata Mel2chinz.

“Saya baru kena dua hari lepas, pesan pukul 1 tapi dapat makanan 45 minit kemudian itu pun kentang tak bagi, air tak bagi dah kena tunggu lagi sejam pula,” jelas fizeja2202.

“Saya pun ada masalah juga masa beli makanan di situ dapat roti gelap dan sayur pun berwarna coklat potong selera betul, apa la nasib beli makanan mahal pun dapat rupa macam itu,” tambah minaisakhun.

Belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan dari cawangan restoran tersebut setakat ini.

Sumber: Majoriti

Destination: