Wonder Woman 3 Dibatalkan Kerana Jalan Cerita Tak Sesuai Dengan Rancangan Baru DC Studios?

TERKINI
December 09, 2022 - 12:02 AM


Harapan peminat untuk menyaksikan filem Wonder Woman 3 nampaknya  tidak kesampaian apabila Warner Bros dan DC dilaporkan telah membatalkan filem tersebut.

Memetik laporan Daily Mail, perkara tersebut berkait dengan strategi dan rancangan baharu yang akan dibuat oleh DC Studios di masa akan datang.

Ia selepas berlakunya perubahan pada tampuk pimpinan syarikat itu yang kini diketuai oleh James Gunn dan Peter Safran.

Setelah melakukan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Warner Bros, Michael De Luca dan Pamela Abdy, mereka mencapai kata sepakat bahawa sekual filem itu tidak sesuai dengan rancangan baharu mereka untuk DC Studios.

Walaupun kos sekuel filem itu bukan faktor utama yang mempengaruhi keputusan itu, namun ia dikatakan sedikit sebanyak dapat mengelakkan bebanan kewangan yang perlu ditanggung oleh DC Studios.

Mereka dikatakan akan dapat jimat sebanyak puluhan juta dolar hanya dengan membatalkan filem tersebut.

Bagi strategi yang telah dirancang oleh Gunn dan Safran untuk DC Studios, setakat ini tiada apa yang dapat disahkan lagi.

Berita itu telah diumumkan selepas bintang utama Wonder Woman, Gal Gadot memuat naik perkongsian di Twitter miliknya dengan mengucapkan terima kasih kepada peminatnya.

Dia juga mengatakan sudah tidak sabar untuk berkongsi rancangan seterusnya.

Pelakon itu mula membuat kemunculan pertamanya dalam filem Wonder Woman pada tahun 2017.

Wonder Woman telah memperoleh sebanyak $103 juta pada hujung minggu pertama dan $822 juta di seluruh dunia ketika ia ditayangkan.

Bagaimanapun, sekuel filem Wonder Woman 1984 yang ditayangkan pada tahun 2020 tidak mendapat sambutan yang hangat berbanding filem terdahulu disebabkan perintah berkurung ketika COVID-19.

Sekuel itu hanya memperoleh sebanyak $46.8 juta dalam negara dan $122.8 juta dalam pasaran asing manakala kutipan di seluruh dunia pula hanya mencecah $169.6 juta.