Wow, Sarawak Bakal Miliki Syarikat Penerbangan Sendiri?

PANAS
November 25, 2020 - 02:11 PM

Wow, biar betul Sarawak bakal mempunyai syarikat penerbangannya sendiri? 

Menerusi Harian Metro beberapa hari lalu, Kerajaan Sarawak dilaporkan optimis bagi menubuhkan syarikat penerbangan sendiri untuk membolehkan negerinya dihubungkan dengan lokasi strategik seperti Hong Kong, Korea, Jepun, Australia termasuk destinasi berdekatan yang lain.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata melalui perhubungan udara yang strategik seperti itu, ia akan membawa serta meningkatkan kemasukan pelancong ke Bumi Kenyalang ini.

"Kami masih menelitinya (rancangan menubuhkan syarikat penerbangan sendiri) dan saya optimis kita mesti mempunyai syarikat penerbangan sendiri untuk berhubung dengan lokasi strategik bagi membawa masuk pelancong ke Sarawak.

" Kerajaan Sarawak sebelum ini ada merancang untuk membeli bahagian syarikat penerbangan tertentu namun ia tidak dapat dilaksanakan disebabkan syarikat penerbangan terbabit mempunyai tanggungjawab tertentu," katanya.

Beliau berkata, jika melalui pembelian atau memperoleh saham serta berada di blok minoriti, ia tidak memberi kesan dan oleh itu lebih baik menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.

Selain itu, Abang Johari berkata usaha sedang dilakukan bagi menghidupkan semula dan meningkatkan hubungan udara dengan melakukan penerbangan sewaan dari Sarawak ke negara berdekatan seperti Singapura.

"Saya telah meminta Hornbill Skyways Sdn Bhd (pengendali perkhidmatan pesawat sewaan di Sarawak) untuk melihat kemungkinan menyediakan penerbangan sewaan.

"Dengan pandemik Covid-19 secara drastik, ia banyak mempengaruhi industri terutama pelancongan. Penerbangan sewaan dapat berfungsi sebagai salah satu aset yang dapat dimanfaatkan untuk memacu sektor pelancongan negeri," katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak merancang untuk memperluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) memandangkan lapangan terbang ini sudah mencapai kapasiti penuh.

"Berdasarkan statistik yang diterima, LTAK yang ditetapkan kapasiti lima juta penumpang setahun tidak lagi dapat menerima jumlah penumpang yang ditetapkan. Oleh itu, rancangan mesti dibuat sekarang untuk mengatasi masalah ini.

"Masih terlalu awal bagi saya untuk mengungkapkan apa yang ada di fikiran kami pada masa ini, tetapi kami pasti mencari lapangan terbang yang lebih besar untuk menampung peningkatan jumlah penerbangan dan potensi kedatangan pelancong selepas wabak Covid-19," katanya.

Sumber: Harian Metro

Destination: 
Artikel berkaitan