"Nasi Kandar Lauk Babi" - Ini Satu Penghinaan Buat Industri Nasi Kandar
FOODIEBaru-baru ini tular satu klip video di Platform X yang mempromosikan sebuah kedai nasi kandar yang menghidangkan lauk babi.
Rakaman klip video itu mengundang rasa kesal Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) kerana mempromosi nasi kandar dengan hidangan babi di media sosial .
*berhati² mencari makan Nasi Kandar Mamak dah ada sediakan lauk babi* pic.twitter.com/xi8hHbD95H
— HaQ (@ShariAwang4) October 29, 2023
Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang merupakan presiden berkata, tindakan itu dianggap sebagai satu penghinaan kepada industri nasi kandar di Malaysia yang diketahui dipelopori pengusaha restoran Muslim sejak puluhan tahun lalu.
Tambah beliau, video itu juga boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai terutama pelanggan dan penggemar nasi kandar.
"PRESMA beranggapan ia akan menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan serta penggemar nasi kandar di negara ini sekaligus memberikan gambaran negatif kepada menu kesukaan ramai ini.
"Justeru, PRESMA ingin menegaskan, hidangan nasi kandar di semua premis milik ahli PRESMA di seluruh negara dijamin halal dan bebas daripada bahan dilarang di dalam Islam," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, PRESMA menasihatkan kepada semua pencipta kandungan supaya lebih sensitif dengan hasil kreatif yang dihasilkan.
“Kepada mana-mana pencipta kandungan perlu lebih sensitif dan perlu mengambil kira soal makanan yang selama ini dikaitkan dengan orang Islam,” katanya.
Difahamkan video yang mempromosikan nasi kandar berlauk babi itu telah mendapat lebih 200,000 tontonan dan lebih 5,000 tanda suka.
Sumber: The Vocket