Inilah Rupa Nasi Kandar Singapura! Garu Kepala Netizen Malaysia
FOODIEApesal pelik bebenor nasi kandar chorr, itu antara salah satu komen yang terkeluar dari netizen Malaysia apabila melihat hidangan yang tular di negara itu baru-baru ini.
Berdasarkan perkongsian Pengguna Facebook bernama James di Malaysia-Singapore Border Crossers(MSBC), beliau berkongsikan satu hidangan ‘nasi kandar’ bajet yang berharga SGD2.80 (RM8.80) yang boleh dibeli di Ah Miao’s Kitchen. Namun, majoriti yang melihat ‘nasi kandar’ itu berkata ia langsung tidak nampak seperti nasi kandar.
Berdasarkan penerangan, Ah Miao menulis mereka menghasilkan ‘The Best malaysian Nasi Kandar’ yang anda tidak boleh lepaskan di Singapura. Dalam penerangan Ah Miao’s Kitchen berkenaan set nasi kandar bajet tersebut, set itu hadir dengan ikan bilis yang rangup, papadom, telur rebus, acar sayur, sambal dan kari.
Namun bagi peminat tegar nasi kandar, set berkenaan tidak ubah seperti nasi lemak dan bukannya nasi kandar. Kekurangan utama pastinya tiada kuah campur dan mengapa set berkenaan ada ikan bilis goreng dan kacang.
Ada yang turut memberi cadangan nama set berkenaan ditukar kepada nasi lemak kandar atau untuk menjadikannnya hidangan nasi kandar sebenar, perlu ada beberapa jenis kari yang dicampur bersama dan membuang nasi ikan bilis dan kacang daripada set tersebut.
Namun begitu, di ruangan komen pihak restoran berkenaan menjelaskan bahawa ada sedikit salaah faham dengan menu di kedai mereka.
First sekali, kami meminta maaf andai tersilap or membuat salah faham, untuk kedai ni kami da letak ‘FUSION’ bermaksud campuran bukan 100% kandar. Dan kami memang bermula dari menjual nasi lemak dan untuk kedai ni kami ingin membawa sesuatu yang berbeza. Kepada yang memaki dan menghina, kami terima seadanya. Dan kepada yang menyokong, ribuan terima kasih kami ucapkan dan teruslah menyokong. Sekian.