3 Sebab Berat Badan Tak Turun Walaupun Berpuasa
GAYA HIDUPMesti ramai diantara korang yang merasakan bulan Ramadan akan menjadi bulan di mana korang ambil peluang untuk menurunkan berat badan, alang-alang korang berpuasa. Ramai yang betul-betul memanfaatkan 30 hari Ramadan ini untuk mendapatkan berat badan idaman sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Tetapi, ada individu yang mengeluh bahawa mereka tidak nampak sebarang hasil walaupun pemakanan dijaga dengan rapi.
Berikut adalah 3 kemungkinan kenapa berat badan korang tak turun:
1. Tekanan yang terlalu tinggi
Kunci untuk menurunkan berat badan dengan mudah adalah menjalani kehidupan yang tenang dan bebas tekanan. Sekiranya korang menghadapi tekanan yang tinggi, hormon kortisol dilepaskan ke dalam sistem oleh hipotalamus bagi melawan 'saraf gembira' yang dihasilkan.
Kesan sampingan hormon ini adalah peningkatan pengumpulan lemak badan. Ia juga mengurangkan jumlah jisim otot sistem korang, seterusnya menurunkan kadar metabolisme. Satu lagi kesan sampingan tekanan adalah tabiat makan dengan berlebihan. Ada sesetengah orang yang mengalami tekanan kehilangan selera makan, namun ramai juga yang mengakui bahawa tekanan 'memaksa' mereka makan dengan lebih banyak.
2. Insomnia atau tidak cukup tidur
Punca kedua mengapa korang tidak kehilangan lemak yang diharapkan adalah kerana anda tidak cukup tidur pada waktu malam. Tidur yang cukup adalah penting kerana tidur tidak hanya mempengaruhi kadar metabolisme, malah boleh membantu meningkatkan kepekatan insulin dan membantu anda mengawal tahap kelaparan anda dengan lebih baik sepanjang hari.
Tidur yang cukup sangat mustahak untuk berjaya mengawal berat badan, jadi buatlah 'janji temu' dengan tempat tidur anda supaya mendapat cukup tidur selama 8 jam.
3. Diet anda tidak cukup dinamik
Sebab ketiga mengapa usaha menurunkan berat badan boleh gagal adalah kerana diet yang terlalu seragam. Diet perlu berbeza dalam nilai kalori untuk menjaga metabolisme pada tahap yang optimum.
Sekiranya korang mengambil makanan yang serupa setiap hari, badan akan perlahan-lahan terbiasa dengan tahap kalori sama setiap hari, hingga boleh menurunkan kadar metabolisme.
Untuk mengatasi keadaan itu, korang perlu lebih dinamik mengenai pengambilan makanan. Ini dapat dicapai dengan cara mempelbagaikan jumlah kalori dan jenis makanan yang dimakan setiap hari.
Ramai yang berjaya dengan menyesuaikan pengambilan makanan mengikut corak zig-zag selama seminggu.
Sumber: Astro Awani