Selain Lapar, Ketahui 4 Lagi Sebab Lain Perut Anda Tiba-Tiba Berbunyi!
GAYA HIDUPPernah tak ketika anda sedang melakukan sesuatu kerja, perut anda berbunyi? Apa perkara pertama yang terlintas di fikiran kita apabila perut berbunyi? Biasanya, apabila ia berlaku anda akan terus berfikir bahawa anda sedang lapar jika anda masih belum makan lagi.
Sebenarnya, bunyi yang dihasilkan itu merupakan 'tanda' dari perut anda. Nak tahu tanda apa? Ini dia 5 sebab perut anda berbunyi:
1. Perut berbunyi kerana lapar
Rasa lapar merupakan antara punca atau sebab utama kenapa perut berbunyi. Apabila kita berasa lapar, akan berlaku peningkatan sejenis hormon di dalam otak.
Hormon ini kemudiannya akan menghantar isyarat kepada usus dan juga perut. Apabila usus dan perut menerima isyarat ini, maka ia akan berkontraksi dan menyebabkan bunyi dalam perut.
Kejadian kontraksi perut dan usus ini merupakan satu reaksi atau tindak balas normal apabila kita berasa lapar.
2. Perut berbunyi selepas makan
Perut berbunyi selepas makan juga adalah satu tindak balas dalam tubuh yang normal dan tidak perlu dirisaukan.
Ini kerana, setelah kita makan, dinding sistem pencernaan akan berkontraksi supaya makanan yang dimakan itu dapat melepasi perut untuk ke bahagian usus.
Oleh sebab itu, selepas kita makan, kita akan menyedari perut kita akan mengeluarkan bunyi. Jadi, janganlah risau jika perut berbunyi selepas makan.
3. Perut berbunyi kerana gas
Sekiranya terdapat jumlah gas yang besar melalui sistem pencernaan, ia juga boleh menyebabkan perut anda berbunyi.
Gas yang besar yang dimaksudkan adalah gastrik. Jika gas atau 'angin' gastrik banyak, perut akan mengeluarkan bunyi.
4. Keradangan gastrousus dan juga jangkitan
Selain itu, perut juga akan mengeluarkan bunyi disebabkan oleh keradangan atau jangkitan dalam perut. Perkara ini lebih jelas dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit Crohn’s.
Penyakit Crohn’s ialah penyakit keradangan yang kronik pada usus, terutamanya usus besar dan ileum, yang berkaitan dengan ulser dan fistula.
Selain perut berbunyi, anda juga mungkin akan mengalami beberapa simptom lain seperti kesakitan pada perut, muntah-muntah, loya dan juga cirit-birit.
5. Halangan dalam usus
Apabila cecair atau gas dalam perut kita sukar untuk melalui saluran gastrousus, ia juga boleh mengeluarkan bunyi dalam perut.
Ini kerana usus akan meningkatkan bilangan pergerakan peristaltik bagi membantu aliran cecair dan gas tersebut supaya lancar. Oleh sebab itu, bunyi dalam perut juga akan turut terhasil.
Halangan dalam usus ini boleh berlaku disebabkan jangkitan cacing, penyakit keradangan atau hernia (angin pasang).
Selain perut berbunyi, anda juga akan mengalami simptom-simptom lain seperti sakit pada perut, kekejangan perut dan hilang selera makan.
Sumber: Hello Doktor