Tengah Standby Untuk 'Appraisal' Ke Tu? Ini 5 Benda Penting Korang Jangan Lupa Suarakan Dengan Bos!

GAYA HIDUP
December 07, 2023 - 01:05 PM


Setiap kali tiba bulan Disember, pasti semua staf dan majikan sibuk memikirkan semakan prestasi tahunan.

Semakan prestasi (juga dirujuk sebagai appraisal) ialah perjumpaan antara pekerja dan pengurus bagi membincangkan prestasi pekerja.

Semakan ini juga menjadi peluang yang baik kepada pekerja untuk mengetahui apakah yang perlu ditambah baik, menyatakan dan menyelesaikan apa sahaja kebimbangan kerja dan berunding soal tanggungjawab yang diberikan. 

Sekiranya prestasi pekerja memuaskan, anda boleh berunding untuk kenaikan gaji atau kenaikan pangkat.

Semakan prestasi penting dalam kemajuan kerjaya seseorang dan boleh membawa kepada tahap kepuasan kerja yang lebih tinggi.

Ramai pekerja risaukan ulasan prestasi kerana tidak tahu apa yang bos-bos akan ulas tentang prestasi dan apakah yang perlu dibincangkan dalam situasi tersebut. Sekiranya anda mengalami perkara yang sama, baca artikel ini sampai habis kerana perkara yang disebutkan berikut akan memudahkan urusan untuk penilaian prestasi. 

1. SEBUTKAN PENCAPAIAN ANDA 

Bos anda mungkin tidak mengetahui sepenuhnya apa yang anda lakukan setiap hari. Mereka juga mungkin secara tidak sengaja kurang sedar tentang pencapaian anda yang hebat. Jadi, ceritakan kepada mereka apa yang telah anda lakukan dan hasil daripada usaha anda.

Walau bagaimanapun, jangan terlalu bermegah diri. Sebutkan setiap pencapaian dengan rasa rendah diri dan bangga secukup rasa sahaja. 

Sediakan juga dokumentasi setiap pencapaian sebagai bukti kukuh. Sebagai contoh, klien memuji hasil kerja anda dan akan mendapatkan khidmat daripada syarikat anda lagi pada masa hadapan.

Sedikit sebanyak, ia akan membantu agar bos sedar dan mengingati kewujudan serta sumbangan anda.

2. BERUNDING KENAIKAN GAJI 

Jika anda ingin membuka topik runding semula gaji, sekarang adalah masa yang sesuai untuk bertanya. Walau bagaimanapun, seeloknya elakkan menyuarakannya dengan terlalu lantang dan tidak berhemah seperti “bolehkah saya mendapat kenaikan gaji?”. 

Sebaliknya, senaraikan semua pencapaian dan terangkan mengapa anda layak untuk mendapat kenaikan gaji.

Jika anda seorang pekerja unggul, besar kemungkinan bos akan menunaikan permintaan untuk kenaikan gaji. Mereka juga mahu memastikan bahawa anda gembira berkhidmat untuk syarikat dan sebagai motivasi untuk terus menunjukkan prestasi yang baik.

3. TETAPKAN MATLAMAT YANG JELAS

Penilaian tahunan ialah masa yang sesuai untuk menetapkan matlamat yang jelas untuk kemajuan kerjaya. Sebagai contoh, jika ingin maju ke jawatan yang lebih tinggi, tanggungjawab perlu ditambah dan perlu membuktikan bahawa ciri-ciri seorang ketua itu ada pada diri anda. 

Melalui perbincangan dua hala dengan bos, anda akan dapat mengenal pasti dan menetapkan matlamat prestasi yang jelas untuk tahun berikutnya. 

4. BERIKAN  MAKLUM BALAS KEPADA BOS 

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, semakan prestasi ialah perbincangan dua hala. Ia bertujuan membantu pekerja, bos dan organisasi. Jadi, jika anda merasakan bos memberikan terlalu banyak kerja dalam satu masa dan melakukan pengurusan mikro, beritahu mereka dengan baik.

Maklum balas jujur anda boleh membantu mereka maju dalam peranan sendiri dan kemungkinan besar mereka akan menghargainya terutamanya jika pekerja lain terlalu takut untuk menyebut apa-apa.

5. BINCANGKAN PERASAAN ANDA 

Mungkin ada yang menganggap isu ini remeh tetapi sebenarnya sangat penting kerana emosi dan perasaan anda sebagai pekerja akan mempengaruhi prestasi dan produktiviti.

Jangan seksa diri selama berbulan-bulan sedangkan anda tahu ia boleh diselesaikan oleh syarikat dan ketua. Mereka juga sebenarnya lebih suka membantu pekerja sedia ada untuk mencapai matlamat berbanding mengambil pekerja baharu. 

Sumber: RELEVAN

Destination: