7 Makanan Yang Perlu Dielakkan Oleh Pesakit Gastrik

GAYA HIDUP
December 29, 2023 - 01:45 PM


Siapa kat sini ada masalah gastrik? Bagi anda yang mengalami masalah ini, ada beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan agar masalah gastrik anda tidak menjadi semakin teruk.

Bagi yang tak tahu, gastrik adalah salah satu penyakit berkaitan perut yang biasa berlaku kepada individu selain pedih ulu hati dan ketidakhadaman. Gastrik atau lebih dikenali sebagai gastritis dalam bahasa perubatan adalah kondisi di mana berlaku keradangan pada perut.

Keradangan ini terjadi akibat jangkitan bakteria yang juga boleh menyebabkan ulser pada perut. Terdapat 2 jenis gastrik yang boleh berlaku kepada individu iaitu gastritis akut – berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang petanda dan gastritis kronik – mempunyai petanda dan muncul dalam jangka masa panjang.

Sekiranya menghidap penyakit ini, penderita mungkin akan mengalami beberapa gejala seperti berikut:

  • Sakit pada perut
  • Muntah-muntah
  • Mual seperti mahu termuntah
  • Sebu terutamanya selepas makan

Dah tahu apa itu gastrik dan gejalanya, sekarang kita beralih pula kepada 6 jenis makanan yang perlu dijauhi oleh pesakit gastrik. 6 jenis makanan tersebut adalah: 

1. Buah-buahan

Walaupun buah-buahan adalah makanan yang sihat tetapi pesakit gastrik perlu mengelak dari mengambil buah-buahan yang berasid seperti sitrus dan tomato. 

Sebaliknya, bagi mereka yang menghidapi sakit gastik, anda boleh mengambil pisang yang merupakan buah yang sesuai untuk gastrik angin. Ini kerana pisang membantu merangsang pengeluaran lendir yang dapat melindungi daripada asid perut.

Namun, elakkan pengambilannya secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan perut kembung, berangin dan kekejangan bagi sesetengah orang.

 

2. Produk Tenusu

Lemak boleh merengsakan lapisan perut dan memburukkan gejala gastrik. Ini termasuk produk tenusu penuh lemak seperti susu dan mentega. Selain itu, anda juga perlu mengelak makanan seperti sos, inti atau puding yang dibuat dengan krim pekat atau keju lembut.

 

3. Protein

Protein seperti telur, putih telur dan pengganti telur adalah sumber protein yang sangat baik, tetapi bagi pesakit gastik, anda diminta untuk tidak mengambilnya dengan mentega, krim atau perasa.

Selain itu, anda juga perlu elak mengambil daging merah, terutamanya daging lembu dikisar dan potongan yang lebih berlemak. Sebaliknya, anda digalakkan mengambil ayam tanpa kulit atau ikan yang dipanggang, rebus atau kukus.

Kacang dan mentega kacang yang tinggi protein (tetapi juga tinggi lemak) boleh menjadi masalah bagi penghidap gastrik. Kekacang dan legum sememangnya baik, tetapi pastikan ia diambil dalam kuantiti yang sedikit kerana ia boleh menyebabkan berangin dan kembung perut.

 

4. Pencuci Mulut

Seterusnya, adalah pencuci mulut. Mesti ramai yang suka dessert, kan? Tetapi tahukah anda yang manisan ini mengandungi lemak dan gula yang tinggi? Jadi, sila elakkan ya!

Ini termasuklah makanan yang dibakar, pastri, aiskrim, puding dan coklat. Coklat juga bermasalah kerana ia kaya dengan kafein.

 

5. Rempah

Diet gastrik mengehadkan rempah dan perasa yang biasa digunakan dalam masakan, termasuk:

  • Lada hitam
  • Cili
  • Cabai burung
  • Serbuk bawang putih
  • Mustard
  • Buah pala
  • Serbuk bawang
  • Serbuk kari

 

6. Makanan Bergoreng

Tidak kira betapa menggodanya pisang goreng atau kentang goreng yang dijual di gerai-gerai, ketahuilah ia boleh merengsakan perut yang sudah meradang. Selain itu, kerana ia juga sukar dihadam, membuatkan gejala gastrik anda mungkin bertambah teruk.

 

7. Minuman

Pesakit gastrik perlu elak dari mengambil kafein, minuman manis, soda dan jus buah-buahan berasid (terutamanya jus oren atau tomato).

Selain kopi biasa, anda juga perlu mengelakkan kopi tanpa kafein kerana ia boleh menjadi sangat berasid seperti teh hitam, teh hijau, koko panas dan minuman tenaga juga harus dielakkan.

Minuman alkohol juga termasuk dalam senarai yang perlu dielakkan. Ia bukan sahaja merengsakan perut tetapi juga bertindak balas dengan perencat pam proton (PPI) yang digunakan untuk merawat gastritis, sekali gus menjadikannya kurang berkesan.

 

Sumber: Hello Doktor

Destination: