AEON Perkenal Servis ‘Personal Shopper’ Bagi Membantu Ketua Keluarga Yang Selalu Tersilap Beli Barang

GAYA HIDUP
March 26, 2020 - 08:10 AM


Umum ketahui, semalam (25 Mac) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 31 Mac kepada 14 April bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 seterusnya mengekang penularan wabak berkenaan di negara ini.

Menurut arahan yang dikeluarkan, hanya ketua keluarga yang dibenarkan keluar sekiranya perlu mendapatkan barang keperluan untuk kegunaan seharian terutamanya barang makanan.

Ini secara tak langung membuatkan kerja – kerja pembelian barang basah serta barangan dapur yang selama ini kerap dilakukan oleh Timbalan Ketua Keluarga (dibaca: isteri) beralih kepada suami dan sepanjang minggu lepas, jika diperhatikan posting di Facebook dan Twitter, pastinya anda perasan yang ada sesetengah para suami yang tersilap beli barang dan tidak kurang juga yang ‘cemas’ ketika cuba mendapatkan barangan yang dipesan.

Bagi ‘meringankan beban’ si suami untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki serta membeli barangan yang betul, AEON ada memperkenalkan perkhidmatan ‘personal shopper’ yang mana para pembeli boleh memberikan senarai barangan keperluan yang dikehendaki sambil dibantu oleh pekerja yang bertugas.

Difahamkan, para pembeli boleh juga memilih untuk duduk di dalam kereta atau hanya menantikan ‘pesanan’ yang dibuat sambil ianya bakal dilakukan oleh personal shopper yang disediakan oleh AEON ini.

Cara Menggunakan Perkhidmatan Personal Shopper ini juga mudah; pertama, berikan senarai barangan yang diperlukan kepada petugas, tunggu di kereta atau ruang menunggu sementara barangan diambil, tunggu panggilan atau dipanggil sesudah kesemua barangan sedia untuk diambil dan terakhir, buat bayaran di kaunter yang disediakan.

Mudah kan?