Aksi Corner Di Jalan Selekoh Tak Jadi, Rider Motosikal Terbabas Ke Bahu Jalan

GAYA HIDUP
July 09, 2024 - 01:23 PM


Baru-baru ini, tular di media sosial satu video ‘dashcam’ yang memaparkan seorang penunggang motosikal terbabas selepas didakwa melakukan aksi ‘corner baring’ di sebuah jalan raya di sekitar Lembah Klang.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun Facebook Dashcam Owners Malaysia, kelihatan penunggang motosikal dipercayai penghantar barang itu memotong sebuah kereta yang sedang memasuki susur masuk ke Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) berhampiran Kota Damansara.

Bagaimanapun, selepas memotong kenderaan terbabit, penunggang motosikal berkenaan dilihat seronok ‘melayani’ jalan berselekoh terbabit dengan melakukan aksi ‘corner baring’.

Namun malang tidak berbau menimpa penunggang terbabit selepas motosikal yang ditungganginya secara tiba-tiba halang kawalan dan terbabas di bahagian kanan jalan.

Pun begitu, punca sebenar motosikal dipercayai jenis Honda CBR 250RR itu terbabas tidak dapat dipastikan, adakah kerana jalan raya yang licin atau sebaliknya.

Diharapkan penunggang motosikal berkenaan segera diberikan kesembuhan dan mengambil perkara yang berlaku itu sebagai satu iktibar untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Rakaman dashcam berdurasi 20 saat itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna-pengguna Facebook, di mana segelintir mengkritik dan ada juga yang kasihan dengan nasib penunggang terbabit.