Pavilion Taiwan Menampilkan 18 Syarikat Dengan Produk Diperakui Halal Di MIHAS 2024

GAYA HIDUP
September 19, 2024 - 11:43 AM


Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) menampilkan produk mesra halal daripada 18 syarikat Taiwan di Pavilion Taiwan semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2024), yang berlangsung dari 17-20 September 2024.

Senarai 60 produk terbaik ini merangkumi makanan, barangan kecantikan, dan juga bahan pencuci sekaligus melonjakkan kedudukan Taiwan dalam pasaran halal global. Turut hadir chef terkemuka negara Chef Johari Idrus atau lebih dikenali sebagai Chef Jo berkongsi buah fikirannya tentang cara untuk menggunakan produk makanan yang dipamerkan dalam hidangan rakyat Malaysia.

Jurucakap TAITRA berkata Taiwan telah membuat kemajuan besar dalam membangunkan pasaran halalnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sambil menambah bahawa negara itu menduduki tempat ketiga dalam Indeks Pelancongan Muslim Global 2024 untuk destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mencerminkan daya tarikannya yang semakin meningkat kepada pelancong Muslim.

"Sejak penubuhan Pusat Halal Taiwan lapan tahun lalu, bilangan perniagaan yang diperakui halal telah meningkat daripada 700 kepada lebih 1,000.

"Terdapat lebih daripada 20,000 produk yang diperakui halal dari Taiwan, di mana 80 peratus daripadanya telah diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Antara produk yang dipamerkan ialah teh kundur dari Forever Sweety; rangkaian pes dari Fufdn yang meningkatkan rasa hidangan; dan minyak biji teh dari Meishan yang mempunyai titik asap tinggi, menjadikannya sesuai untuk penyediaan pelbagai hidangan Timur dan Barat.

Senarai produk ini turut merangkumi rangkaian produk enzim dari Be Rich Biotechnology yang mempromosikan suplemen kesihatan yang baik, serta makanan laut sejuk beku dan makanan 'ready-made' berkualiti tinggi dari Land Young, jenama yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam pasaran Taiwan.

Mereka yang berminat untuk menghubungi syarikat halal Taiwan boleh berhubung dengan pejabat Pusat Perdagangan Taiwan Kuala Lumpur atau Pusat Halal Taiwan.

MIHAS merupakan pameran halal terbesar di dunia, menjadikannnya salah satu platform perniagaan nombor satu industri halal. Pameran perdagangan ini diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur.

 

Destination: