Apa Istimewanya Ramadan? Inilah kelebihannya Yang Perlu Diketahui

GAYA HIDUP
May 06, 2019 - 11:08 AM


Apa istimewanya Ramadan? Inilah kelebihannya yang perlu diketahui:

1. Sabda nabi SAW: “Orang yang berpuasa pada bulan Ramadan denganpenuh keimanan dan penuh harapan maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Tetapi yang Nabi SAW maksudkan adalah dosa-dosa kecil sahaja yang akan diampuni. Ada pun dosa besar memerlukan taubat yang khusus dan kalau dosa tersebut terlibat dengan manusia maka terlebih dahulu kesalahan tersebut dimaafkan oleh mangsa baharulah Allah akan ampunkan dosa tersebut.

2. Nabi SAW bersabda: “Di syurga terdapat sebuah pintu yang bernama al-Rayyan. Orang–orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu. Jika mereka telah masuk maka pintu itu akan dikunci sehingga orang–orang selain mereka tidak dapat masuk ke dalamnya.”

3. Nabi SAW bersabda: “Orang yang berpuasa satu hari ketika berjuang pada jalan Allah, wajahnya akan dijauhkan Allah dari neraka sejauh 70 kali musim luruh.”

4. Allah anugerahkan malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

5. Allah gandakan pahala amalan pada bulan Ramadan. Nabi SAW bersabda; Setiap amalan anak Adam pasti dilipatgandakan. Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan tertentu sesuai kehendak Allah. 

Allah berfirman: “Kecuali puasa, kerana puasa itu milik-Ku dan Akulah yang akan memberikan balasannya.”

6. Nabi SAW bersabda: “Ketika sedang berbuka, seseorang yang berpuasa memiliki satu doa yang tidak akan ditolak oleh Allah.” Maka jangan lepaskan peluang ini berdoalah kepada Allah.

7. Segala syaitan dirantai, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga puasa bukan sahaja menahan makan dan minum, bahkan daripada segala maksiat mata, telinga dan mulut serta lain-lain anggota.

Banyakkan membaca al-Quran, melakukan solat sunat dan bersedekah. Semoga Allah menjadikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan yang terbaik atau mungkin yang terakhir bagi kita sebelum berjumpa Allah.

Kongsikan artikel ini semoga menjadi sebahagian amalan jariah kita pada bulan Ramadan. InsyaAllah. -mstar