Bila Dapat "First Job" Nak Buat Loan Rumah Atau Kereta Dulu ?

GAYA HIDUP
October 27, 2017 - 04:45 PM


Sungguh merungsingkan fikiran lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru mendapatakan pekerjaan. Sama ada nak membeli rumah atau kereta? Kedua-duanya penting dan kedua-duanya memang mahal harganya. Jadi nak buat keputusan memang payah. Namun jelas sekali ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

 

Duit muka bagi kereta rendah dan korang boleh terus dapatkannya. Ia memudahkan korang nak ke mana-mana dan peluang pekerjaan pun semakin bertambah. Yang paling penting komitmennya tidaklah menakutkan sangat. Malangnya, nilainya sebuah kereta akan tetap menyusut dan lambat-laun kena diganti. Rumah pula sentiasa meningkat nilainya dan kebiasaannya korang hanya perlu beli sekali saja lainlah kalau korang nak upgrade rumah.

 

Tetapi, nak bayar pendahuluan tu memang semput dibuatnya sebab kosnya sangat tinggi dan korang akan terikat dengan bayaran bulanan yang sangat lama. Nak atau tak korang memang tetap kena bayar walaupun ekonomi berubah atau jadi tak stabil. Jadi Yang Mana Satu Jadi Pilihan? Sesetengah orang kata, baik korang berjimat dan beli rumah dahulu.

 

 

Dan ada pula orang lain cakap, bila dah cukup duit nak bayar rumah, tentu harganya dah melambung tinggi, jadi lebih baik beli kereta. Sudah tentu tiada jawapan yang betul atau salah dalam hal ini. Walaupun ramai pakar kewangan akan cakap lebih baik beli rumah, tapi tak ramai yang benar-benar bersedia untuk komit dirinya dengan plan kewangan sedemikian.

 

Apatah lagi apa yang membimbangkan jika berlaku masalah kewangan seperti dibuang kerja dan dipotong gaji. Senang cakap, beli rumah perlukan komitmen yang amat besar berbanding kereta walaupun kedua-duanya adalah pilihan yang babitkan duit yang banyak. Kami berikan 4 persoalan ni untuk bantu korang membuat keputusan yang lebih bijak:

 

1. Yang Mana Lagi Perlu?

 

Tak dinafikan yang setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza. Sesetengah menganggap kereta adalah perkara utama dalam kehidupan kerana melibatkan pekerjaan dan pergerakan diri dari satu tempat ke tempat yang lain. Ada pula orang mengangap bahawa rumah adalah aset penting untuk kehidupan selesa buat diri dan keluarga.

 

Semuanya bergantung kepada keperluan. Jika korang boleh duduk sekali dengan ibu bapa atau sewa rumah dengan murah seperti berkongsi dengan beberapa teman tetapi terpaksa naik turun pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, kereta adalah pilihan yang bijak. Sebaliknya, jika kamu nak bina kerjaya dan keluarga, menyewa untuk jangka panjang bukanlah sesuatu yang cost-effective. Tapi kalau kedua-duanya perlu? Cuba soalan ini pula…

 

 

2. Yang Mana Satu Paling Mampu Dimiliki?

 

Adakah korang dah cukup duit simpanan untuk bayar duit muka bagi kedua-dua rumah dan kereta? Dan persoalan yang tak kurang pentingnya, adakah korang akan mampu untuk bayar bulan-bulan dengan kos senggara sekali? Kalau boleh semua benda pun kita nak ada, tapi realitinya tak semua kita akan mampu! Periksa dulu keadaan kewangan korang, dan buat keputusan berdasarkan kemampuan dan bukannya nafsu. Kalau korang betul-betul ada keinginan korang kenalah cari inisiatif lain bagi nak menjana kewangan yang kukuh.

 

3. Gaya Hidup Yang Mana Jadi Pilihan?

 

Gaya hidup merupakan sesuatu yang bergantung kepada diri sendiri. Bagi sesetengah orang, menyewa bukanlah satu masalah besar tetapi rasa tak kuasa nak gunakan pengangkutan awam. Bila tahu banyak kekurangan dalam pengunaan kenderaan awam ramai orang lebih cenderung untuk memiliki kenderaan sendiri. Dan itu tak bermakna kalau korang pilih unutk membeli kereta korang TAKKAN tak mampu beli rumah, cuma ia akan memakan masa yang lebih sikit untuk korang kumpul duit muka rumah bila kamu dah mula berhutang. Tapi kekurangannya semakin lama korang bertangguh membeli rumah semakin meningkat harganya pada masa akan datang.

 

 

4. Lihat Rekod Hutang Korang

 

Ini merupakan perkara terpenting. Hutang bukanlah satu perkara yang boleh dibawa main-main sebab bila tiba saat korang tak mampu nak bayar boleh jadi korang akan diisytiharkan muflis. Nak dapatkan pinjaman rumah lebih banyak-hal berbanding mendapat kelulusan pinjaman kereta disebabkan jumlah harga yang jauh berbaza. Oleh itu, korang kena ada rekod hutang yang baik.

 

Ada kala, tak pernah berhutang pun boleh buat bank sukar buat keputusan sebab mereka tak dapat membayangkan sama ada kamu pembayar yang baik atau sebaliknya. Jadi, ada bagusnya juga kalau kamu ada pinjaman kereta atas nama korang sendiri yang boleh ditunjukkan kamu rajin dan bayar tepat pada masa daripada tiada langsung.

 

Kesimpulannya, setiap daripada kita ada gaya hidup dan kehendak berbeza dan tersendiri, jadi tiada formula hitam putih dalam menentukan apa yang wajar korang lakukan. Sebab ramai orang yang boleh memiliki kedua-dua kereta dan rumah tapi masih cukup makan dan tak nampak papa kedana. Dan kebiasanya, korang boleh beli rumah bukan atas nama seorang sebab pasangan hidup juga boleh berkongsi beban hutang itu.

 

Yang paling penting sekali adalah mengambil kira kemampuan dan sama ada korang boleh teruskan kehidupan dengan selesa bukannya 'kais pagi makan pagi kais petang makan petang'

 

Sumber: Cosmopolitan