Bintang Squid Game, Jung Ho-Yeon Kini Aktres Korea Paling Ramai Followers Di Instagram!

GAYA HIDUP
October 05, 2021 - 12:40 PM


Kalau korang peminat filem Squid Game yang ditayangkan di Netflix -- pasti korang kenal dengan salah seorang pelakon wanitanya iaitu Jung Ho-yeon.

Disebabkan penangan cerita itu yang kini hangat diperkatakan di seluruh dunia membuatkan Jung sekarang menjadi pelakon wanita Korea yang mempunyai pengikut paling ramai di Instagram iaitu melebihi 13 juta followers!

Sebelum Squid Game menjadi buah mulut peminat pertengahan September lalu, Jung hanya mempunyai kira-kira 400,000 pengikut sahaja.

Jung mengatasi pelakon popular Lee Sung-kyung, yang sebelumnya memegang gelaran itu dengan 12.9 juta pengikut, dan Song Hye-kyo yang mempunyai 12 juta pengikut.

Dalam satu temu bual dengan Herald Pop baru-baru ini, dia yang juga seorang model menyifatkan pertambahan pengikut itu satu bentuk penghargaan buat hasil kerjanya.

"Pada mulanya, saya sangat terkejut. Setiap kali saya buka aplikasi Instagram, saya dapati jumlahnya bertambah.

"Saya fikir ia terjemahan penghargaan orang ramai terhadap Squid Game, dan saya bersyukur.

"Memikirkan begitu ramai yang memberikan saya sokongan, ia membuatkan saya semakin bersemangat," ujarnya.

Membuat kemunculan pertama sebagai pelakon, Jung berterima kasih dengan kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya.

"Lakonan saya masih banyak kekurangan. Tetapi saya beruntung kerana dikelilingi pelakon dan kru yang bagus, secara tidak langsung ia mempengaruhi tahap lakonan saya," tambahnya.

Sumber: Awani

Destination: