Brunei Perkenal Kod BruHealth, Hanya Pelanggan Warna Hijau & Kuning Boleh 'Dine In'

GAYA HIDUP
May 19, 2020 - 01:33 PM


Sebahagian restoran, kafe, medan selera dan gerai makanan kembali dibuka di Brunei selepas Kerajaannya melonggarkan beberapa perintah kawalan COVID-19.

Malah, pasar malam yang popular di negara itu juga iaitu Pasar Malam Gadong turut akan dibuka semula dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun, bagi mengawal penularan jangkitan, Kementerian Kesihatan Brunei mengumumkan setiap pengendali premis makanan dikehendaki mendapatkan kod QR BruHealth.

Ia mesti dicetak dan dipaparkan di pintu masuk kedai bagi membolehkan pelanggan membuat imbasan ketika mengunjungi premis.

Hanya pelanggan yang didapati mengimbas kod hijau dan kuning akan dibenarkan masuk untuk makan di dalam premis.

Mereka juga diingatkan supaya mematuhi peraturan berkenaan dan arahan berkaitan pengurangan langkah kawalan yang dilaksanakan secara berperingkat itu dan langkah penjarakan sosial.

Pelanggaran peraturan itu juga menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Seksyen 204), yang boleh dikenakan denda BND$10,000 (RM30,621) atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Brunei hari ini melaporkan tiada kes baharu dengan statistik kumulatif COVID-19 di negara itu kekal 141 kes, malah tiada kes baharu dilaporkan selama 11 hari berturut-turut, sejak 7 Mei lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan, tiada kes pesakit sembuh direkodkan setakat semalam, sekali gus mengekalkan jumlah warga Brunei yang pulih ialah 136 orang, manakala empat pesakit masih dirawat di Pusat Isolasi Nasional.

Selain itu, dua pesakit difahamkan masih berada dalam keadaan kritikal dan sepanjang pandemik COVID-19, cuma satu kematian direkodkan di Brunei. 

Sumber: Berita Harian

Destination: