'Buat Apa Nak Buka Pawagam Kat Kelantan, Netflix Kan Ada!' - Mohd Amar Abdullah

GAYA HIDUP
July 04, 2022 - 01:38 PM


Seperti yang kita tahu, Kelantan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mempunyai pawagam sejak sekian lama!

Namun baru-baru ini larangan mengharamkan pawagam di negeri berkenaan timbul lagi selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang suatu ketika dahulu pernah menentang pembukaan pawagam di Kelantan -- namun dilihat menonton filem Mat Kilau di sebuah pawagam di Lembah Klang.

Perbezaan pendirian dan tindakan Ahli Parlimen tersebut didakwa netizen sebagai double-standard dan mencetuskan kontroversi.

Malah pihak Kerajaan Negeri juga disaran untuk mula membuka pawagam melihatkan kepada situasi semasa rakyat Kelantan yang mahukan sedikit hiburan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa pengharaman pawagam tetap akan diteruskan kerana rakyat Kelantan mempunyai pilihan lain untuk menonton filem seperti di saluran popular, Netflix.

"Orang Kelantan sendiri tidak bising pasal pawagam sebab mereka boleh tengok dekat Netflix. Netflix boleh tengok semua. Jadi kenapa kena bayar duit pergi pawagam.

"You duduk rumah sambil makan kuaci pun boleh tengok," katanya.

Kelantan mengharamkan pawagam dan kedai nombor ekor sejak PAS berkuasa di Kelantan pada 1990. Pada masa itu, Kerajaan Negeri diterajui Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerajaan Kelantan beberapa kali menegaskan tidak akan mengkaji semula larangan itu walaupun negeri-negeri yang dikuasai PAS seperti Kedah dan Terengganu tidak berbuat demikian.

Dia juga menolak pendapat bahawa keputusan itu mempunyai kaitan dengan perniagaan.

"Bukan soal business. Tak ramai minat buka pawagam. Sejak dunia jadi terbuka, digital dan sebagainya, pawagam banyak yang tutup.

“Kalau kami tak buat dasar pun, di KL banyak pawagam sudah tutup, Coliseum, Federal. Semua tutup. GSC itu banyak yang tutup.

"Maknanya kalau kami tak buat dasar pun, tak boleh, sebab semua dah masuk dalam rumah.

“Bagi saya, ini bukan satu isu besar. Kami tak halang orang nak berhibur, cuma dalam konteks Kelantan kita rasa tidak sesuai. Itu saja," ujarnya.

Sementara itu, ini pula adalah penjelasan daripada Dewan Pemuda PAS Selangor terhadap kontroversi yang tercetus disebabkan oleh Ketua Pemuda PAS mereka itu.

Sumber: Malaysia Kini

Destination: