Nak Tahu Status Halal Produk? Korang Guna 'SmartHalal QR Code' Je Yang Diperkenalkan JAKIM
GAYA HIDUPPernah tak korang mengalami situasi was-was dan tertanya-tanya di ruang fikiran sama ada produk atau lebih-lebih lagi bahan makanan yang korang nak beli tu halal ke tidak?
Mesti ramai yang pernah berada dalam dilema seperti itu kan...
Tetapi sekarang ni korang dah tak perlu risau kerana terbaharu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan SmartHalal QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal bagi memudahkan pengguna mengetahui status halal sesuatu produk.
Untuk menggunapakai sistem berkenaan, pengguna perlu memuat turun aplikasi SmartHalal terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem QR Code di dalamnya.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh -- sistem QR Code itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam pensijilan halal Malaysia.
“Dengan adanya sistem QR Code ini, orang ramai dapat mengetahui status halal sesuatu produk atau perkhidmatan dengan lebih pantas.
“Di samping itu, ia juga dapat membantu pemain industri untuk memperoleh pelbagai informasi berkaitan prosedur pensijilan halal terkini dengan lebih cepat dan tepat,” katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat (29 Jan).
QR Code itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Diharap dengan wujudnya inisiatif seperti ini dapat memberi manfaat yang besar kepada ummah, seterusnya mengekalkan imej pensijilan halal Malaysia selaku peneraju pensijilan halal bertaraf dunia.
Sumber: Malaysia Gazette