Restoran 'No Pork' Atau 'Pork Free', Boleh Ke Tak Muslim Makan Sebenarnya?
GAYA HIDUPBila melancong ke luar negara atau bercuti di dalam negara kita sendiri, kadang-kala antara cabaran yang dihadapi sebagai pelancong beragama Islam adalah untuk mendapatkan makanan atau restoran Halal.
Jika didapati kedai makan itu tiada status atau paparan sijil Halal, kebiasaannya kita mencari pula kedai yang berstatus 'pork free' sahaja.
Tetapi apakah sebenarnya hukum makan di kedai berstatus pork free atau bebas khinzir ini?
Sebenarnya, tindakan pengusaha makanan terutama dalam kalangan bukan Islam yang memaparkan logo pork free (bebas khinzir) hanya semata-mata mahu menarik pelanggan khususnya umat Islam.
Tujuannya supaya mereka menikmati makanan dan minuman yang dijual. Untuk pengetahuan semua, halal dan no pork (tiada khinzir) atau pork free, ia dua perkara yang berbeza.
Cuba kita fikir, adakah terma halal dan no pork itu adalah sama dari segi maksudnya?
Jawapannya, sudah tentu tidak. Halal adalah satu bentuk pematuhan mengikut ketetapan dan hukum-hukum yang ditetapkan oleh syarak. Manakala, no pork pula hanya satu bentuk makluman bahawa kedai berkenaan tidak menjual makanan berasaskan daging khinzir. Itu sahaja.
Tidak semestinya kedai atau premis makanan yang memaparkan logo no pork itu boleh kita anggap sebagai menjual makanan halal.
Status halalnya perlu kita ragui. Dalam hal ini, kita harus bertanya pada diri sendiri sebelum masuk ke kedai-kedai sebegini. Antaranya bagaimana cara penyediaan makanan, bahan-bahan yang digunakan, penyimpanan bahan-bahan basah dan mentah, tempat memasak, tahap kebersihan dan segala perkara berkaitan.
Ini berkait rapat dengan soal halal dan haram serta syubhah (ragu-ragu). Halal itu jelas, haram juga jelas tetapi syubhah adalah antara kedua-duanya.
Dalam hal syubhah, Rasulullah SAW menuntut setiap umatnya meninggalkan perkara tersebut kerana kecenderungannya kepada hukum haram. ALLAH SWT berfirman: "Wahai sekalian manusia, makan daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik..." (Surah al-Baqarah: 168).
Islam bukan setakat soal halal sahaja terutama berkaitan makanan tetapi turut membabitkan sama ada makanan itu baik atau tidak.
(Sumber: Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)
Sementara itu -- Ini pula adalah perkongsian di Facebook oleh seorang chef restoran terkemuka area Selangor dan KL.
Ikuti luahan dan pengalaman beliau tentang majikan non-muslim yang meremehkan isu halal ini.
KEDAI MAKAN “NO PORK / PORK FREE”
Saya seorang tukang masak atau Chef yang berkerja di sekitar selangor dan KL, pengalaman hampir 10 tahun berkerja di pelbagai jenis hotel dan restauran. Terdetik saya nak berkongsi cerita ini setelah melihat beberapa posting berkaitan isu makan di kedai tanpa sijil halal namun berlabel pork free, ramai muslim yang dilihat makan dan minum di kedai sebegini. Jadi biarlah saya sebagai orang yang bergelumang dalam industri ini berkongsi sikit cerita pada semua.
Restoran pork free biasanya di miliki oleh non muslim, mereka tak mahu apply sijil halal sebab susah dan bagi mereka buang dan duit, dan sebenarnya tak mungkin akan lulus, kenapa?
Saya akan ceritakan di bawah. Tapi oleh kerana mereka sedar 70% hasil jualan biasanya datang dari kaum melayu yakni muslim maka mereka memilih untuk meletakkan logo “No Pork” di kedai mereka.
Pernah saya berkerja di sebuah syarikat di KL, sebagai Chef makanan western dan Melayu, tetapi atas kerana perubahan hala tuju perniagaan, owner tempat saya berkerja menambah sisi perniagaan iaitu restaurant makan tengahari “pork free”, jujurnya saya terlibat dengan operasi dari awal hingga sekarang. Saya dapat melihat segenap aspek apa yang berlaku dalam restaurant pork free.
Sebab apa mereka tak mahu mohon sijil halal jakim sedangkan mereka mahu pelanggan dari orang muslim?
Pertama, ada sebahagian mereka mahu menjual alcohol di premis yang sama.
Kedua, bahan masakan yang mereka guna tidak memiliki sijil halal, dan pengeluarnya di ragui. Kenapa ini berlaku, jujurnya, pemilik restoran ini bukanlah jahat atau sengaja, yang saya dapati ialah mereka tidak betul betul memahami konsep halal itu.
Saya pernah cuba menegur bekas majikan saya, tapi dia masih kurang faham. Bagi beliau, cukup sekadar tidak menggunakan produk babi sudah cukup sesuai untuk pelanggan islam. Pemahamannya kurang.
Betul, tiada babi yang digunakan, tapi, di dapur, ada cooking wine, ayam yang di guna di ragui sembelihan, (pernah check tiada kesan sembelihan), makanan dalam tin dari syarikat yang sama yang mengeluarkan produk babi, bahan bahan yang di import terus dari China, Taiwan dan sebagainya, (atas alasan rasa dan quality lebih baik) tiada cop halal jakim, bahkan tiada cop halal mana mana pun, ini adalah contoh apa yang saya dapat lihat dari pengalaman sendiri, betul pork free, tapi pasti ia tidak halal untuk di muslim.
Bekas majikan saya mengaku sendiri, hampir 70 peratus hasil jualan dari melayu muslim -- hinggakan dia perlu menggaji pekerja muslim wanita bertudung untuk berkerja di ruang hadapan, supaya muslim berani untuk makan di situ, hakikatnya, tukang masak adalah non muslim, bahan masakan juga diragui dan tidak halal. Iya, tidak ada menggunakan babi, tapi masih tidak halal untuk muslim.
Wallahhi, saya rasa bertanggungjawab untuk share hakikat ni, sebab saya ada dalam industri, sekurang kurangnya, ini pengalaman di tempat saya pernah berkerja, mungkin tempat lain berbeza, tapi untuk renungan kita bersama, mari berfikir kenapa restoran ini tak mahu dapatkan sijil halal jakim, sedangkan mahu pelanggan dari melayu islam (sanggup pamerkan logo Pork Free).
Jika tak pasti halal atau haram, sudah pasti menjadi ragu ragu, syubhah, kita muslim kena elakkan.
Akhir kata, pada yang membaca, tolong renungkan semula, kenapa bersusah susah makan yang syubhah sedangkan boleh cari yang pasti halal.
Harap perkongsian ini membuka mata semua.
Sumber – FB