Darah Tinggi Punca Utama Pendarahan Otak, 1 Dari 3 Rakyat Malaysia Ada Benda Ni

GAYA HIDUP
November 14, 2023 - 03:28 PM


3 daripada 10 rakyat Malaysia menderita hipertensi mengalami tekanan darah tinggi, namun hanya separuh daripada mereka sedar mereka menghidap penyakit 'tersembunyi' ini.

Walaupun 90 peratus daripada pesakit yang tahu mereka menghidap hipertensi mengambil ubat-ubatan, hanya separuh dapat mengawal tekanan darah mereka dengan baik.

Ini bermakna kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi tidak terkawal sama ada kerana tidak sedar mereka menghidap penyakit ini atau tidak mendapat terapi yang optimum.

Keadaan itu, seterusnya mendedahkan mereka kepada komplikasi seperti serangan jantung, strok dan pelbagai penyakit jantung lain.

PENDARAHAN OTAK

Antara faktor risiko terbesar untuk seseorang terkena pendarahan di dalam otak tanpa apa-apa hentakan pada kepala adalah...

Darah tinggi

Sebab itu darah tinggi dipanggil pembunuh senyap (silent killer). Sebab waktu tekanan darah meningkat lebih dari normal, kita tak rasa apa pun. Tapi ia merosakkan salur darah dan merisikokan salur darah itu pecah. Bila berlaku, masa tu baru ada tanda-tanda. Dan waktu itu, mungkin dah terlambat.

1 dari 3 rakyat Malaysia ada darah tinggi.

Malah, separuh dari mereka ni, tak sedar pun mereka ada darah tinggi.

Cuba pergi check tekanan darah dekat farmasi. Kalay lebih 140/90, besar kemungkinan anda ada darah tinggi lah tu. Jumpa doktor. Buat saringan kerosakan organ lain. Dapatkan rawatan.

5 tips untuk kawal tekanan darah dari saya.

1. Kurangkan penggunaan garam dan perasa tambahan dalam masakan. Tak kisah lah garam bukit ke, Himalaya ke, MSG ke, sos cili, tomato, ikan ke, kurangkan. Ganti dengan rempah ratus.

2. Kurangkan makanan berproses dan makanan segera. Tak kira lah dia tulis pilihan lebih sihat ke apa.

3. Berhenti merokok dan vape. Nikotin dalam keduanya akan meningkatkan tekanan darah dan merosakkan salur darah.

4. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Kalau boleh, cuba capai 10 000 langkah sehari.

5. Kalau anda dah kena makan ubat untuk darah tinggi, mohon patuh. Separuh dari penghidap darah tinggi tak patuh dengan ubat. Mereka hanya menyesal bila organ dah rosak. Jangan jadi seperti ini.

Jaga diri. Jaga kesihatan. Darah tinggi adalah pembunuh senyap.

Dr Amirul Amzar

Pakar Perubatan Keluarga

Medical Mythbusters Malaysia, M3