Elak Dari Lawati Tempat Ini - 7 Tempat Yang Pernah Diazab Allah
GAYA HIDUPWaktu dulu sering kali kita dengar kisah-kisah kaum atau golongan tertentu yang diazab Allah namun tak ramai tahu di mana lokasi dan tempat-tempat yang diturunkan bala. Hendaklah kita menjauhi tempat-tempat begini dan mengambil iktibar dari kisah yang terjadi.
Tempat yang diturunkan bala dan laknat tempat yang patut kita jauhi dan bukan untuk dilawati serta bersuka ria. Lihat dari jauh dan berdoa agar kita dijauhkan dari segala musibah.
Terdapat pandangan ulama bahawa hukum untuk 'menziarahi' atau bersuka ria di tempat yang pernah dilaknat adalah haram. Begitu juga yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang mempercepatkan langkah ketika melalui kawasan yang pernah dilaknat oleh Allah SWT dan seharusnya kita mencontohi apa yang dilakukan oleh junjungan mulia.
Ketujuh-tujuh tempat ini diturunkan azab yang berat, ada yang diterbalikkan dan ada yang dilenyapkan terus dari muka bumi. Moga kita semua tidak mendekati ke tempat-tempat berikut.
1. Madain Shaleh
Madain Shaleh merupakan kota kuno yang terletak di wilayah utara Hizaz. Madain Shaleh dahulu dihuni oleh kaum Tsamud (kaum Nabi Salleh) dan Nabatea. Mereka hidup sejak 3,000 tahun sebelum Masihi, hidup antara zaman Nabi Nuh AS hingga Nabi Musa AS.
Allah SWT berfirman "Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing." (Hud 11 : Ayat 67)
Akhirnya kamu Tsamud diazab dengan suara keras sehingga penduduknya mati bergelimpangan. Hal ini disebabkan penduduk Madain Shaleh tidak mahu meninggalkan amalan mereka iaitu menyembah berhala dan membunuh unta Nabi Saleh.
2. Qasr Al Farid
Qasr Al Farid bermaksud 'Istana Bersendirian' merupakan 'landmark' di Madain Shaleh yang merupakan makam dibina pada sekitar abad ke-1 Masihi.
Qasr Al Farid dianggarkan setinggi bangunan empat tingkat yang diukir dari sebongkah batu besar. Ia dibina seawal zaman Kerajaan Nabatea (suku Nabath) yang telah membina monumen hampir serupa di Petra, Jordan. Suku Nabath memiliki kemahiran mengukir dan telah menguasai Mediterranean sehingga ke utara Arab. Namun zaman kegemilangan mereka terganggu oleh keadaan ekonomi dan politik orang Rom.
Kita sebagai umat Islam tak patut mengunjungi Madain Shaleh kerana tempat ini pernah dilaknat oleh Allah akibat kaum yang hidup di Kerajaan Nabatea yang membangkang dan ingkar untuk menyembah Allah.
3. Negeri Kaum 'Ad
Kaum 'Ad hidup di jazirah Arab, suatu tempat bernama Al-Ahqaf yang terletak di utara Hadramaut iaitu antara Yaman dan Oman. Mereka adalah kaum penyembah berhala bernama Shamud, Shada dan al-Haba. Dalam sejarah, terdapat dua kaum 'Ad iaitu kaum 'Ad awal dan 'Ad akhir. Nabi Hud diutus pada kaum yang terawal.
Kerana kekufuran dan tidak pernah puas dengan segala kemewahan yang diperoleh mereka, maka kaum 'Ad dibinasakan dengan angin dingin yang sangat kencang.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya" (Al-Haqqah 69 : Ayat 6)
"Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; kalaulah engkau menyaksikannya, maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang." (Al-Haqqah 69: Ayat 7)
4. Kota Pompeii
Kota Pompeii terletak di sebelah timur Gunung Vesuvius, Kota Naples, Itali. Pompeii ditimpa azab kerana masyarakatnya melakukan perilaku seksual menyimpang sebagaimana umat Luth dan akhirnya mereka mengalami kehancuran. Kehancuran kota Pompeii berlaku selepas terjadinya letusan Gunung Vesuvius.
Kota yang dibangunkan pada abad ke-6 oleh kaum Osci atau Oscan iaitu masyarakat di tengah Itali. Masyarakat Pompeii menjadikan kota itu sebagai kota pelacuran dan aktiviti tidak senonoh yang lain. Lebih mengejutkan, penemuan tubuh manusia yang menjadi batu itu berada dalam posisi sedang melakukan persetubuhan termasuk liwat.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Kebinasaan mereka hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi." (Ya-Sin 36: Ayat 29)
5. Laut Mati
Laut Mati bukanlah laut tetapi ianya sebuah tasik yang luas. Memiliki kandungan garam tertinggi dari seluruh laut di dunia.
Tasik ini dinamakan Laut Mati karena tidak ada bentuk kehidupan yang dapat bertahan dalam air garam ini. Laut Mati merupakan tempat paling rendah yang ada di muka bumi.
Umat Nabi Luth AS dihancurkan kerana mengamalkan perbuatan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT, yakni melakukan hubungan seksual dengan sesama jenis (homoseksual). Walaupun sudah diperingatkan oleh Nabi Luth, namun umatnya tidak mahu menuruti perintah tersebut, hingga Allah menimpakan azab terhadap mereka.
Allah berfirman "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu." (Hud 11: Ayat 82)
6. Wadi Muhassar / Lembah Muhassir
Wadi Muhassar atau disebut Lembah Muhassir merupakan salah satu lembah yang terletak di antara Minna dan Muzdalifah. Lembah Muhassir sangat popular dalam kalangan umat Islam kerana tempat ini merupakan lokasi terjadinya penyerangan kota Mekah oleh tentera gajah yang dipimpin Raja Abrahah.
Ketika Abrahah hendak menghancurkan Kaabah, mereka singgah di Wadi Muhassar dan lembah ini menjadi persinggahan terakhir Abrahah dan tenteranya ketika itulah Allah SWT mengutuskan burung Ababil melontarkan batu yang sangat panas kepada mereka.
Allah SWT berfirman "Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasukan. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat" (Al-Fil : Ayat 1 - 5)
7. Laut Merah
Siapa yang tidak tahu tentang kisah Firaun? Firaun dan pasukannya diazab Allah dengan cara ditenggelamkan di tengah-tengah Laut Merah. Laut Merah menjadi saksi kekuasaan Tuhan menyelamatkan Nabi Musa dari pasukan Firaun yang merupakan raja zalim.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya." ( Al-A'raf 7: Ayat 136)
Hukum melawat ke tempat yang pernah dilaknat adalah makruh dan kita sebagai umat Islam perlu menjauhi tempat berkenaan atau sekadar melewati kawasan berkenaan untuk mengambil pengajaran terhadap sesuatu sebab di atas azab Allah SWT.