Gunung Sampah Yang Busuk Menjadi Tarikan Terbaru di Gua Musang, Kelantan

GAYA HIDUP
May 02, 2023 - 07:07 PM


Penduduk Orang Asli Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini mendakwa berasa tidak selesa dengan bau busuk dan keadaan kotor di jalan utama ke penempatan mereka ekoran longgokan sampah daripada pusat pelupusan sampah berhampiran laluan itu.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, beberapa aduan telah dikemukakan terhadap pihak berwajib berkenaan longgokan sampah yang hampir menutup jalan utama di Kampung Sungai Sam itu, namun masih tiada penyelesaian.

"Kami berdepan masalah sampah yang diletakkan di merata-rata tempat sehingga melimpah di atas jalan masuk ke kampung.

"Masalah longgokan sampah ini bukan sahaja berlaku selepas musim perayaan tetapi juga pada hari biasa dan saya pernah merakam gambar keadaan sampah dilonggok pada Februari lepas. Keadaan ini masih berterusan sehingga hari ini," katanya kepada pemberita di tapak pelupusan sampah berkenaan pada Selasa.

Menurut Harun, penduduk sememangnya mengetahui kawasan bersebelahan jalan itu ialah tapak pelupusan sampah yang telah wujud sejak 20 tahun lepas, namun keadaan sampah yang melimpah sehingga ke tengah jalan menyebabkan mereka tidak berpuas hati.

Seorang penduduk, Jamal Alias, 42 berkata, mereka bukan sahaja berdepan dengan masalah bau dan pemandangan, malah longgokan sampah di kawasan tepi jalan itu juga menyebabkan pencemaran udara memandangkan pembakaran sampah secara terbuka turut dilakukan di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk Orang Asli berkaitan masalah sampah itu baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan perbelanjaan untuk membersihkan jalan itu selain menebas semak-samun di kawasan tersebut untuk kemudahan dan keselamatan pengguna laluan.

"Kerja pembersihan laluan sepanjang sembilan kilometer itu akan bermula Khamis ini dan dijangka selesai dalam masa tiga hari,” katanya. - Bernama