Harga Emas Cecah RM287 Segram, Ramai "Mek Kelate" Pilih 'Cairkan' Aset

GAYA HIDUP
April 06, 2023 - 04:39 PM


Harga emas paling mahal yang direkodkan setakat ini sehingga mencecah RM287 bagi satu gram menyebabkan ramai wanita Kelantan memilih untuk 'mencairkan' aset mereka.

Tinjauan media di beberapa kedai emas sekitar Kota Bharu, Kelantan -- mendapati kebanyakan mereka memilih berbuat demikian untuk mendapatkan wang tunai bagi menampung keperluan sekolah anak, sambutan Ramadan, persediaan hari raya dan sebagainya.

Situasi itu diakui sendiri Pengarah Urusan Mz Gold Sdn Bhd, Murtadhatumizi Mustapha apabila dalam sehari beliau memperoleh sekitar 1 hingga 2 kilogram (kg) emas yang dijual oleh pemilik.

"Harga emas mula naik mencanak sejak awal Mac lalu dengan merekodkan nilai tertinggi setakat ini iaitu RM290 satu gram.

"Kebetulan orang ramai berdepan dengan situasi baru lepas musim banjir, persediaan kelengkapan sekolah anak, sambut Ramadan dan tidak lama lagi Aidilfitri.

"Ini menyebabkan ramai pemilik terutama wanita memilih untuk menjual sebahagian daripada aset yang mereka ada," katanya.

Menurut beliau, disebabkan itu juga jualan emas sedikit menurun walaupun pihaknya memberikan promosi RM10 untuk satu gram, namun, ia kurang mendapat sambutan.

Bagi penjual emas Sarah Jewels, Nur Amalin Aisyah Ramlee, 23, memberitahu, beliau terpaksa menghadkan waktu pembelian emas iaitu bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

"Setiap hari orang datang 'tolak' (menjual) emas, saya anggarkan lebih 10 individu berbuat demikian.

"Ramai yang mengambil peluang ini untuk mendapatkan wang tunai kerana harga emas sekarang adalah paling tertinggi pernah dicatatkan," katanya.

Ujar beliau, melihat kepada trend tersebut kenaikan itu dijangka kekal sehingga sambutan Aidilfitri.

Tambah Nur Amalin Aisyah, bagaimanapun ada dalam kalangan orang Kelantan menganggap membeli emas pada sambutan Aidilfitri sebagai satu 'kefarduan'.

"Mahal atau murah mereka tetap beli emas baharu untuk dipakai semasa sambutan raya," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Sarimah Yusoff, 42, memberitahu, dia merebut peluang itu untuk menjual emas yang sudah lama tidak dipakai.

"Duit yang diperoleh boleh digunakan untuk persiapan Aidilfitri dan meringankan beban suami.

"Sekarang ini harga emas paling mahal yang saya pernah jumpa, jadi inilah peluang yang baik kalau hendak dapatkan wang segera," katanya.

Sumber & Kredit Gambar: Sinar Harian

Destination: