Korang Pernah Berangan Nak Jadi 'Tauke Stesen Minyak'? Rupanya Ini Je 4 Syarat Penting Kena Dipenuhi

GAYA HIDUP
August 14, 2023 - 05:06 PM


Perniagaan bahan bakar yang menjanjikan keuntungan lumayan pastinya telah menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk membuka stesen minyak sendiri.

Tidak melibatkan proses rumit, mereka yang berminat untuk membuka stesen bagaimanapun perlu memenuhi beberapa syarat sebelum menjalankan operasi.

Untuk pengetahuan umum, sebenarnya terdapat dua jenis pengurusan yang di guna pakai untuk menjalankan operasi stesen minyak di negara ini.

Dua jenis pengurusan terlibat yang dijalankan di Malaysia adalah :
1) Company Own Dealer Operate (CODO)

2) Dealer Own Dealer Operate (DODO)

Bagi operasi CODO, tapak stesen hanya akan dimiliki oleh syarikat pengendali minyak dan harga bahan bakar yang dijual pula dikawal selia oleh kerajaan.

Manakala, stesen yang memilih untuk menjalankan operasi penjualan bahan bakar secara DODO pula akan dimiliki oleh peniaga itu sendiri.

Berikut adalah empat syarat penting yang perlu dipenuhi oleh mereka yang mahu membuka perniagaan dengan menggunakan operasi DODO.

1. GERAN TANAH

Sebelum membuka perniagaan, nama geran tanah perlu ditukar kepada jenama pengendali stesen minyak yang dipilih peniaga.

2. SAIZ TANAH

Mereka yang berminat perlu memiliki tanah sekurang-kurangnya seluas 0.75 ekar. Namun, tanah bersaiz satu ekar adalah keluasan yang terbaik.

Perlu diingatkan, tanah lot yang berbentuk segi empat selalunya menjadi pilihan popular oleh pihak syarikat pengendali minyak.

Bagaimanapun, sebelum dipilih untuk dijadikan stesen, syarikat pengendali minyak akan menjalankan proses kiraan trafik terlebih dahulu.

Proses ini dijalankan untuk menilai sama ada tanah tersebut berada di dalam kawasan strategik ataupun sebaliknya.

3. JALAN MASUK & KELUAR STESEN

Ini adalah antara faktor terpenting yang perlu dinilai sebelum membuat keputusan untuk membuka stesen minyak.

Untuk kegunaan dan keselesaan pengunjung, jalan masuk dan jalan keluar daripada stesen haruslah mempunyai keluasan yang cukup besar.

4. BAJET

Mereka yang berminat untuk membuka stesen minyak perlu menyediakan modal sebanyak RM2.5 juta sehingga RM5 juta.

Hal ini kerana, pihak bank hanya akan meminjamkan separuh daripada jumlah perbelanjaan untuk membuka stesen berkenaan.

Tular di media sosial, perkara itu dijelaskan di dalam bentuk video yang dikongsi oleh seorang pengguna Twitter bernama @jllmisai menerusi satu ciapan di akaun miliknya.

Destination: