Hanya 12 gram, Ini Kamera Aksi Paling Kecil Dihasilkan (Setakat Ini)

GAYA HIDUP
November 15, 2019 - 03:57 PM


Kamera aksi atau action camera ini biasanya sering digunakan untuk merakamkan detik-detik penting dan sememangnya perlu bersaiz kecil, kompak, ringan dan mudah untuk dibawa kemana - mana.

Kalau nak diikutkan, jenama yang melopori atau boleh dikatakan 'otai' dalam action camera ini semestinya GoPro yang bermula dengan siri Hero mereka, sehinggalah yang terkini GoPro Hero 8.

Cuba memecah dominasi GoPro, beberapa syarikat pengeluar kamera seperti Sony, Canon, Nikon dan beberapa lagi jenama turut serta mengeluarkan action kamera masing - masing.

Terbaru, sebuah jenama dari Jepun, Litec telah hadir dengan Opkix One dan produk ini boleh dikatakan akan memeriahkan lagi pasaran kamera aksi ini kerana ianya seberat 12 gram dan bersaiz sebesar dua kiub gula.

Saiz Opkix One yang kecil ini membolehkan ianya dipakai pada jari, dilekat pada cermin mata atau dibuat sebagai rantai selain boleh diletakkan pada tempat - tempat kamera biasa sepert di helmet dan didatangkan dengan plat magnetik.

Ini bermaksud, kamera ni boleh diletakkan pada mana - mana permukaan besi atau boleh dilekatkan menggunakan magnet.

Difahamkan, Opkix One didatangkan dengan dua buah kamera yang boleh digunakan untuk mengambil dua video atau gambar yang berdekatan atau dua gambar / video pada arah yang berlainan.

Fungsi video pada kamera ini boleh merekod 1080p pada 30 frame per saat. Kamera ini juga didatangkan dengan memori 4GB dan boleh merekod gambar atau video selama 15 minit. Bateri yang dimuatkan adalah berkapasiti 75mAh dan mengambil masa satu jam untuk dicas penuh.

Selain itu, Opkix ini akan mempunyai aplikasi mereka tersendiri yang akan memudahkan perpindahan video dari kamera sebelum pengguna boleh terus mengedit video berkenaan bagi mengurangkan gegaran, menambah filter dan sebagainya yang turut tersedia dalam aplikasi berkenaan.

Opkix One ini didatangkan dengan 'starter pack' dua kamera, sebuah pengecas 'egg', dan aksesori tambahan seperti cermin mata, cincin, rantai dan lain - lain.

Opkix One boleh didapati di laman web Litec dengan harga jualan 49,800 yen (RM 1905 +/-).