Happy Diwali, Ini 9 Fakta Menarik Tentang Sambutan Deepavali di Malaysia
GAYA HIDUPEsok ini, merupakan sambutan Hari Deepavali buat mereka yang beragama hindu. Jadi sebagai rakyat yang hidup di dalam negara yang berbilang bangsa, kaum dan agama, sudah tentu kita juga turut merayakannya.
Tapi pasti ramai diantara anda yang tidak tahu apa sebenarnya perayaan Deepavali. Kami senaraikan fakta menarik tentang perayaan Deepavali.
Seperti yang diketahui umum, Deepavali turut dikenali sebagai Pesta Cahaya dan merupakan perayaan utama bagi masyarakat India yang beragama Hindu, Sikh dan Jain, di mana ia disambut pada Oktober atau November setiap tahun.
Kebiasaannya masyarakat di India akan menyambut Deepavali selama tiga hingga lima hari berturut-turut, namun di Malaysia hanya sehari sahaja. Walau bagaimanapun ia terpulang kepada individu untuk meraikannya sebanyak mana hari yang mereka inginkan.
Sebagai seorang warga negara Malaysia, seeloknya kita turut sama-sama mengambil tahu sedikit info dan fakta menarik tentang perayaan masyarakat kita sendiri.
1. Beli pakaian baru, bersihkan rumah dan pasang lampu
Sama macam perayaan lain, tak sah kalau tak beli baju baru kan?! Mereka memakai baju baru yang menandakan satu permulaan baru untuk tahun baru. Mereka jugak akan pastikan rumah dibersihkan dan dihias cantik dengan lampu.
2. Pagi Deepavali mandi minyak bijan
Pada pagi hari perayaan, ahli keluarga akan bangun lebih awal dan mandi dan membersihkan diri sebelum bersalaman dan memohon maaf dengan kededua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
Mandi minyak bijan bertujuan untuk menyucikan badan dan semangat. Ia adalah tanda simbolik sebagai penyucian diri.
Minyak bijan ini akan disapukan ke atas kepala setiap ahli keluarga. Ia diumpamakan sama seperti mandi di Sungai Ganges yang bertujuan untuk membersihkan diri dari segala kejahatan dan sifat dengki.
3. Deepavali Disambut Oleh Penganut Hindu, Sikh, Jain Dan Buddha
Ia adalah satu perayaan penting dalam agama Hindu, Jainisme, Buddhism dan Sikh yang disambut atas sebab-sebab yang berbeza, yang berlaku antara pertengahan Oktober dan pertengahan November.
4. Kolam atau Rangoli Ucapan Selamat Datang
Kebanyakan penganut Hindu akan menghiasi rumah mereka dengan ‘kolam’ atau ‘ranggoli’ atau ‘muggu’ iaitu hiasan lantai yang diperbuat daripada beras yang diwarnakan sebelum terbit matahari.
Biasanya ‘kolam’ ini dibuat di depan pintu rumah sebagai tanda selamat supaya setiap isi rumah mendapat kesejahteraan.
5. Lampu adalah simbolik ilmu atau ‘Cahaya Dari Dalam’
Diwali adalah perayaan cahaya yang dianggap dapat menghalau kejahilan dan menghapuskan dosa yang mereka lakukan dalam kehidupan seharian. Ia adalah pesta cahaya yang bakal memberi sihar baru kepada hidup mereka.
6. Kejayaan dalam Kebaikkan Melawan Kejahatan
Pesta Cahaya sudah tentunya disambut dengan pelita. Antara sebab mengapa perayaan ini dirai dengan pelita yang dipasang adalah sebagai simbolik penganut Hindu yang melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan berdasarkan lagenda yang diturunkan kepada mereka mengenai Raja Narakasura dan Dewa Krishnan.
Oleh kerana itu, pelita dipasang dan dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.
7. Memuja Dewi Kesejahteraan dan Kekayaan
Setiap kali tibanya Deepavali, penganut agama Hindu akan memuja Dewi Lakshmi, iaitu dewi yang memberi kesejahteraan, kemakmuran dan kekayaan. Pada malam Deepavali, Dewi Lakshmi dikatakan telah memilih Dewa Vishnu sebagai suaminya. Sehubungan dengan itu, seluruh keluarga di setiap rumah akan membersihkan dan menghias rumah mereka secantik mungkin bagi menyambut kedatangan Dewi Lakshmi pada malam Deepavali.
8. Dewa Rama kembali ke Ayodhya
Legenda Hindu yang berkait dengan Deepavali adalah hari kepulangan Dewa Rama, ratunya Sita Devi dan adiknya Lakshmana, ke Ayodhya selepas 14 tahun dibuang negeri. Adalah dipercayai bahawa rakyat Ayodhya menyalakan pelita di sepanjang jalan untuk menerangi laluan Rama, yang telah menewaskan raja syaitan Ravana, dalam kegelapan.
9. Dewa Krishna menewaskan Narakasura
Selain legenda Dewa Rama, satu lagi kisah penting Deepavali adalah hari di mana Dewa Krishna berjaya menewaskan raja syaitan Narakasura, yang memerintah Pragjyotishapura. Bagi membebaskan rakyat kerajaannya yang hidup dalam ketakutan, Krishna membunuh raja syaitan itu dan menandakan hari itu sebagai hari perayaan.
Happy Diwali....