Hidup Selalu Susah, Ketahuilah 4 Perkara Ini Membuatkan Rezeki Anda Tertangguh
GAYA HIDUPSering kali kita mengeluh kerana hidup susah, rezeki tidak kungjung tiba, telah cuba sedaya yang mungkin untuk mencari rezeki tetapi masih lagi diuji dengan kesusahan demi kesusahan.
Percayalah setiap manusia sudah dijanjikan rezekinya dari Allah SWT sejak azali lagi. Namun untuk mendapatkan rezeki yang disediakan usaha perlu dilakukan.
Menjadi tugas dan tanggungjawab setiap manusia untuk berusaha dan berdoa agar kehidupan kita dilimpahi dengan rezeki yang berkat dan tidak putus. Itu adalah salah satu cara yang boleh dilakukan agar Allah sentiasa mempermudahkan urusan kita untuk mencari rezeki.
Namun jika anda masih lagi terasa seakan akan rezeki susah untuk masuk, ataupun rezeki ada tetapi keberkatan itu yang hilang mungkin ada beberapa perkara yang tanpa sedar sedang berlaku dalam rutin hidup anda sekali gus memberi kesan kepada rezeki.
Antaranya;
1. Mensia-siakan Waktu Pagi
Banyak manfaat yang boleh diperoleh pada waktu pagi kerana padanya ada banyak keberkatan.
Ada sebuah kisah pada zaman sahabat menyebut bahawa salah satu kunci kekayaannya adalah dengan membawa barang dagangannya pada waktu pagi.
Beliau adalah seorang pedagang yang sangat kaya raya dan baginya, banyak perkara yang boleh dilakukan pada waktu pagi.
Baginda SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا
Maksud: “Ya Allah, berkatilah umatku di waktu paginya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2606. Dinukil sahih oleh Syeikh Al-Albani)
2. Tidak Menitikberatkan Perihal Solat
Takwa kepada Allah adalah salah satu pintu rezeki. Ia adalah satu bentuk keyakinan bahawa hanya Allah yang berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.
Apabila seseorang bertakwa, ia akan membawa kepada peribadi yang diredai Allah seperti menjaga perihal solat, menitikberatkan yang halal dan haram serta banyak lagi.
Mafhum: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah At-Talaq, 65:2-3)
3. Malas
Tiada majikan yang ingin menawarkan pekerjaan jika anda mempunyai sifat malas. Inilah konsep yang perlu difahami. Bagaimana rezeki akan datang kepada anda jika anda malas berusaha?
Ia tidak akan datang bergolek. Disebabkan itu, setiap perkara yang ingin dicapai perlu disertai dengan usaha.
Maksud: “Seandainya kalian benar-benar bertawakkal kepada Allah, tentu kalian akan diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki. Ia pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali pada petang hari dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2344)
4. Tidak amanah
Ada sebuah hadis yang menyebut bahawa tidak amanah merupakan salah satu ciri orang munafik. Mengapa? Kerana setiap amanah yang diberikan adalah tugas dan tanggungjawab yang perlu digalas dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh.
Jika anda tidak amanah, bagaimana orang sekeliling akan mempercayai anda untuk menggalas sesuatu pekerjaan?
Maksud: “Tiga tanda munafik adalah apabila seseorang itu berkata kemudian dia berbohong; apabila berjanji, diingkari dan apabila diberi amanah, ia tidak menggalasnya dengan baik.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 33)