Hukum Mukbang Dalam Islam?
GAYA HIDUPSejak ledakan media sosial dan saluran YouTube di kalangan anak muda seluruh dunia -- pasti ramai yang tahu tentang perkembangan trend 'Mukbang'!
Mukbang sebenarnya merupakan gabungan daripada dua perkataan bahasa Korea iaitu 먹는;meongneun yang bermaksud 'makan' dan 방송 bangsong bermaksud 'penyiaran'.
Secara istilahnya pula, ia merupakan suatu siaran langsung dalam talian di mana pengacara memakan makanan pelbagai jenis sambil berinteraksi dengan para penonton. Fenomena ini mula terkenal serata Korea Selatan pada tahun 2010.
Jika dilihat, secara kebiasaannya, video-video mukbang ini dihasilkan bagi tujuan meraih keuntungan dan populariti -- malah ada juga sesetengah individu yang menjadikannya sebagai lubuk kerjaya.
Mereka menjana pendapatan daripadanya melalui upah pengiklanan, mendapat tajaan daripada pihak luar, membuat perakuan dan pengesyoran terhadap sesuatu produk makanan di samping adanya sokongan dan dukungan daripada kalangan penonton sama ada dalam bentuk wang tunai mahupun jumlah tontonan.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada terlibat dengan trend Mukbang yang menjadi kegilaan ramai seperti Raja Mukbang Malaysia iaitu IsaacOsmanTV atau nama sebenarnya Nur Muhammad Izzat Osman.
Tapi pada dasarnya adakah perbuatan makan secara banyak dan laju seperti mukbang ini dibenarkan dalam Islam?
Jom ikuti penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai trend ini.
HUKUM MUKBANG
Hukum mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya kerana ia tidak bertentangan dengan prinsip hukum syarak.
Namun perlulah ia dilakukan dengan cara mengikuti adab makan dan minum yang digariskan dalam Islam --antaranya makan makanan yang halal lagi baik, tidak makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran, tidak pula makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa, di samping menghidupkan sunnah-sunnah dan adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Namun, sekiranya diperhatikan, terdapat segelintir masyarakat yang dilihat melakukan aktiviti ini dengan cara yang bertentangan dengan adab makan dan minum dalam Islam. Antara yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti berikut:
1) Memakan makanan yang kotor dan tidak bersih
Sekiranya diperhatikan, terdapat beberapa individu yang mengadakan siaran mukbang dengan mengambil makanan-makanan yang tidak bersih dan suci demi menaikkan rating videonya.
2) Kenyang yang berlebihan
Seterusnya, terdapat juga sebahagian pelaku video mukbang mengambil jumlah makanan atau minuman dengan kuantiti yang sangat banyak, sehinggakan melebihi kadar keperluan dirinya -- bahkan terkadang sehingga membawa kepada rasa sakit dan muntah akibat ingin menyelesaikan cabaran yang diminta oleh penonton misalnya.
3) Makan dengan gelojoh
Perbuatan makan dengan cepat atau gelojoh ini seringkali dilihat dilakukan oleh kebanyakan pelaku video mukbang atas sebab mengejar masa atau menyahut cabaran yang diberi oleh para penonton.
Walhal, perbuatan ini amatlah tidak baik dan mesti dihindari oleh kerana boleh mendatangkan pelbagai risiko pada tubuh badan seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan bermacam lagi.
4) Makan menggunakan tangan kiri
Kadangkala berlaku juga beberapa pelaku mukbang yang tampil dan makan dengan menggunakan tangan kiri, walhal Islam mengajar umatnya agar makan dengan tangan kanan.