iPhone 15 Lebih Mahal Di Malaysia, Tempahan Awal 22 Sept. Berikut 15 Ciri Menarik & Mengecewakan Tentang iPhone Baru Ini

GAYA HIDUP
September 13, 2023 - 06:00 PM


Sama seperti siri iPhone 14 pada tahun lepas, peminat di Malaysia boleh mendapatkan telefon pintar terbaru Apple iaitu siri iPhone 15 dalam tempoh dua minggu lagi.

Malah, harga rasmi jualannya di Malaysia juga telah diketahui, dengan peningkatan harga untuk semua model.

Dalam kenyataan rasmi Apple Malaysia -- siri iPhone 15 akan dibuka tempahan awal pada hari Jumaat minggu hadapan, 22 September 2023.

Ia akan mula dijual di pasaran tempatan mulai hari Jumaat seterusnya, 29 September 2023.

Harga untuk siri iPhone 15 pula telah meningkat sebanyak RM200 untuk semua model.

Pilihan storan untuk semua model boleh didapati dari serendah 128GB, kecuali untuk iPhone 15 Pro Max yang memiliki storan dari 256GB.

Berikut adalah harga rasmi siri iPhone 15 di Malaysia:

iPhone 15
128GB – RM4,399
256GB – RM4,899
512GB – RM5,899

iPhone 15 Plus
128GB – RM4,899
256GB – RM5,399
512GB – RM6,399

iPhone 15 Pro
128GB – RM5,499
256GB – RM5,999
512GB – RM6,999
1TB – RM7,999

iPhone 15 Pro Max
256GB – RM6,499
512GB – RM7,499
1TB – RM8,499

Ini pula adalah senarai 15 perkara menarik dan mengecewakan pada telefon pintar terkini Apple tahun ini yang dipetik daripada sumber laman web https://amanz.my/

MENARIK

1. Dynamic Island Untuk Semua

Selamat tinggal takuk skrin yang diperkenalkan menerusi iPhone X enam tahun yang lalu. Pada awalnya menjadi bahan jenaka Android tetapi kini ia sudah menjadi rekaan ikonik sehingga ditiru oleh pengeluar lain termasuk Samsung yang paling awal mentertawakannya.

Tahun ini tiada lagi takuk dengan kesemua model iPhone 15 ditawarkan dengan ciri Dynamic Island. Dynamic Island menggantikan takuk dengan dua lubang kamera yang besar. Apabila diperlukan Dynamic Island akan memaparkan maklumat penting seperti mesej diterima, penghantar makanan akan tiba dan juga apakah lagu yang sedang dimainkan.

2. Apple A17 Pro Cip 3nm Pertama

Pada siri iPhone 15 Pro dam 15 Pro Max cip baharu Apple A17 Pro digunakan. Tiada lagi penggunaan nama Fusion pada penjenamaan yang diperkenalkan menerusi A11 Bionic tujuh tahun yang lalu. Seperti takuk dilupuskan tahun ini, nama Bionic juga dikuburkan seperti Fusion sebelumnya.

Konfigurasi 2+4 teras dikekalkan dengan dua teras berprestasi tinggi dan empat lagi teras untuk tugasan yang tidak memerlukan kuasa memproses yang tinggi. GPU enam teras pada A17 Pro menjanjikan peningkatan prestasi grafik sehingga 20% berbanding model tahun lalu. Oleh sebab itulah empat permainan tahap konsol seperti Resident Evil 4 boleh dimainkan pada siri iPhone 15 Pro tahun ini.

Teknologi 3nm juga digunakan menjadikan A17 Pro yang pertama menggunakannya di pasaran. Langkah yang akan turut diikuti oleh siri Qualcomm Snapdragon dan MediaTek Dimensity kelak.

3. Akhirnya USB-C Pada iPhone

Alhamdulillah kerana selepas menanti selama lebih setengah dekad, akhirnya iPhone dengan port pengecasan USB-C menjadi realiti. Keempat-empat model iPhone 15, iPhone 15 Plus, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max menggunakan port USB-C yang menyeragamkannya dengan iPad dan Mac yang telah berhijrah ke port ini sejak beberapa tahun yang lalu.

Perubahan dilakukan Apple bagi memenuhi keperluan pasaran EU dan Bharat yang mewajibkan peranti elektronik seperti telefon pintar menggunakan USB-C bagi mengurangkan sampah elektronik. Era sukar mencari kepala pengecas Lightning dan masalah tertinggal kabel sehingga iPhone tidak boleh dicas kini dinoktahkan.

4. Kamera Baharu Zum Optikal 5X

Jarang sekali Apple melakukan penambahbaikan pada kamera secara dua tahun berturut-turut. Tahun lalu sensor utama 48MP dipadankan kepada lensa sudut lebar. Tahun ini pada iPhone 15 Pro Max, sensor 12MP telefoto hadir dengan kemampuan zum optikal 5X dan zum digital sehingga 25X. Peningkatan daripada 3x dan 15x sahaja pada iPhone 14 Pro Max tahun lalu.

Mekanisme prisma baharu pada model Pro Max ini membolehkan tahap zum lebih tinggi dicapai. Sungguhpun begitu Apple masih di belakang Samsung dan Xiaomi yang masing-masing menawarkan peranti dengan zum sehingga 100X dan 120X tahun ini.

5. Rakaman Video Terus Ke SSD Pada iPhone 15 Pro

Apple menjual idea bahawa iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max adalah telefon pintar dengan kemampuan rakaman video terbaik di pasaran. Sistem kamera yang dipertingkat membolehkan siri iPhone 15 Pro digunakan untuk menghasilkan filem secara profesional.

Menyedari bahawa rakaman ProRes memerlukan storan yang besar, siri iPhone 15 Pro menyokong rakaman terus ke storan SSD luaran menerusi USB-C. Ini turut akan mengaktifkan mod rakaman ProRes 4K60FPS yang menggunakan kad bit lebih tinggi. Dengan ini isu storan tidak mencukupi tidak lagi berlaku.

6.Butang Aksi Multi Fungsi

Butang aksi (Action Button) menggantikan butang laras membisukan notifikasi yang telah digunakan pada iPhone sejak generasi pertama lagi. Kali ini butang boleh diprogramkan untuk bukan sahaja membisukan siri iPhone 15 Pro tetapi juga boleh melancarkan kamera, memulakan sesi rakaman Voice Memo, mengaktifkan sistem pintar di rumah dan banyak lagi.

7. Tubuh Titanium

Ada yang merungut iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max tahun lalu terasa berat dalam tangan. Tahun ini dengan tubuh diperbuat daripada logam titanium pada siri iPhone 15 Pro, ia menjadi model Pro paling ringan pernah mereka hasilkan. Logam ini bukan sahaja ringan tetapi juga tahan lasak membolehkan pemilik keyakinan untuk menggunakannya tanpa kerangka. Perubahan lain pada model Pro tahun ini ialah sisi kembali dibulatkan dengan penawaran warna titanium hitam, titanium putih, titanium biru, dan titanium semula jadi.

8. Rakaman Video Spatial Dan Piawaian ACES

Kamera iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max juga adalah yang pertama pada telefon pintar memenuhi piawaian ACES (Academy Color Encoding Standard). Piawaian ini memudahkan juruvideo menggunakan iPhone 15 Pro untuk menghasilkan filem yang lebih sinematik. Jika ini tidak mengujakan bagi anda, kamera yang sama juga boleh melakukan rakaman video spatial yang kemudiannya boleh ditonton secara 3D menggunakan Apple Vision Pro yang akan dilancarkan tahun hadapan.

9. iOS 17 Banyak Ciri Baharu

Tahun lalu iOS 16 agak mengecewakan kerana tidak banyak ciri baharu diperkenalkan. Tahun ini iOS 17 mengubat kekecewaan lalu kerana membawakan ciri seperti Contact Poster, NameDrop, AirDrop tanpa had jarak, StandBy, Live Voicemail, Look Up, Journal, Live Stickers dan banyak lagi. Tahun ini melihat iOS kembali dengan inovasi tersendiri bukan sekadar mengambil inspirasi daripada Android yang telahpun menawarkannya terlebih dahulu.

MENGECEWAKAN

10. Cip Apple A16 Bionic Pada iPhone 15 Biasa

Strategi tahun lalu dikitar semula pada iPhone 16 dan 16 Plus yang hanya menggunakan cip Apple A16 Bionic seperti siri iPhone 14 Pro tahun lalu. Jika orang ramai inginkan iPhone paling berkuasa, pilihan mereka hanyalah dua model 15 Pro. Dengan iPhone 15 dan 15 Plus, Apple telah mewujudkan peranti “kelas pertengahan” mereka di mana cip mercu tahun lalu dikitar semula pada model bukan Pro.

Berita baik di sini ialah A16 Bionic masih lagi cukup berkuasa jika dibandingkan dengan Snapdragon 8 Gen 2. Maka pemilik peranti tidak perlu risau ia tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk menjalankan aplikasi gaming yang berat dalam masa terdekat.

11. USB-C Pantas Hanya Pada iPhone 15 Pro

Perbezaan pada pemproses iPhone 15 dan iPhone 15 Pro juga dapat dilihat pada kelajuan port USB-C. Nampak serupa tetapi port USB-C pada siri iPhone 15 hanya menyokong protokol USB 2.0 yang sama sahaja dengan Lightning sebelum ini.

Pada siri iPhone 15 Pro, USB-3 disokong membolehkan tahap penghantaran 20X lebih pantas sehingga 10Gbps. Apple juga hanya memberikan kabel USB-C USB 2.0 sahaja dalam setiap peranti yang dibeli. Pembeli model Pro perlu membelanjakan RM399 untuk kabel USB-C pantas yang dijual berasingan.

12. Sistem Pengecasan Masih Perlahan

Pengecasan yang masih di takuk lama 20W pada keempat-empat model iPhone tahun ini. Seperti Samsung, Apple masih enggan menawarkan sistem pengecasan yang jauh lebih pantas berbanding yang digunakan pada peranti kelas pertengahan Oppo, Vivo, Xiaomi, Redmi dan banyak lagi.

Terdapat ura-ura daripada laman 9to5Mac yang mengatakan pada model Pro, pengecasan sehingga 35W disokong tetapi pada laman rasmi Apple ia tidak pula disenaraikan. Jika benar sekalipun, pengecasan 35W masih perlahan berbanding peranti kelas pertengahan OnePlus Nord 3 5G yang menyokong 80W dengan kepala pengecas diberikan dengan setiap pembelian.

13. Tiada Peningkatan Ketahanan Bateri

Pengecasan masih lagi secara rasmi sekadar 20W. Ini mungkin boleh dimaafkan jika ada perubahan pada ketahanan bateri. Tetapi menurut laman rasmi Apple, kesemua siri iPhone 15 mempunyai tahap ketahanan bateri yang sama dengan siri iPhone 14 tahun lalu. Dengan cip 3nm baharu Apple A17 Pro, sepatutnya siri iPhone 15 Pro mampu menawarkan hayat bateri lebih lama tetapi ini tidak berlaku.

14. Skrin iPhone 15 dan 15 Plus Masih 60Hz

Seperti kami telah sebutkan di atas harga jualan iPhone 15 dan 15 Plus meningkat RM200 tahun ini. Dengan ia bermula daripada RM4399 kami mengharapkan skrin yang digunakan menyokong 120Hz. Tetapi hakikatnya skrin pada dua peranti ini masih lagi sekadar 60Hz yang sudah tidak lagi digunakan pada peranti kelas permulaan Android. Di pasaran sekarang anda boleh membeli peranti seperti Infinix GT 10 Pro dengan skrin 120Hz pada harga RM999. Apple terus menawarkan skrin 60Hz di tahun 2023 adalah amat mengecewakan.

15. Harga Meningkat Lagi

Tahun 2023 ialah tahun harga semua barang naik. Dari harga langganan perkhidmatan penstriman hinggalah barang makanan semuanya meningkat atas faktor ekonomi global. Harga iPhone 15 juga tidak terselamat daripada meningkat tahun ini.

iPhone 15 dijual pada harga bermula RM4399 untuk 128GB berbanding iPhone 14 yang dijual pada harga RM4199 untuk saiz storan yang sama. Peningkatan RM200 bukanlah kecil dalam ekonomi semasa. Harga iPhone 15 Pro Max pula mencecah RM8499 untuk model 1TB berbanding iPhone 14 Pro Max model 1TB yang dijual pada harga RM8299 sebuah.

Sumber: https://amanz.my/ & bm.soyacincau.com

Destination: