Jom Buat Biskut Raya! Tapi... Nak Guna Mentega Atau Marjerin?

GAYA HIDUP
April 19, 2021 - 04:54 PM


Masuk je bulan Ramadan, mesti ramai yang dah bersiap sedia nak buat biskut raya sendiri untuk korang hidangkan nanti dekat tetamu yang datang beraya di rumah korang kan? Tak pun korang sendiri yang habiskan hehe. 

Tapi, bagi yang dah biasa dan mahir membuat biskut raya, mungkin tiada masalah, tapi bagi korang yang baru nak mencuba ni, tahu tak bila nak buat adunan biskut raya, kena guna mentega atau majerin? 

Walaupun kedua-dua bahan ini mempunyai fungsi yang lebih kurang sama, tetapi mereka sebenarnya dua produk yang berbeza. Mentega adalah produk susu yang diperbuat daripada susu atau krim yang digaul, manakala majerin diperbuatkan berasakan minyak sayuran. 

Mentega kebiasaannya diperbuat daripada susu lembu, namun ada juga mentega menggunakan susu kambing. Warna mentega pula biasanya kuning pucat tetapi ia juga bergantung kepada jenis susu digunakan. Selain itu, mentega bukan 100 peratus lemak sebaliknya mengandungi 20 peratus kandungan air dan protein susu.

Sementara itu, marjerin pula diperbuat daripada minyak sayur seperti minyak sawit, kanola dan soya. Kebiasaannya, marjerin diperbuat daripada 80 peratus minyak sayur dan air yang kemudiannya diberi perisa seperti mentega. Kebanyakan marjerin juga mengandungi susu.

Jadi sekiranya korang ingin membuat biskut raya yang bebas susu, gunakan majerin dengan label vegan. 

Walaupun berbeza, kedua-dua mentega dan marjerin mengandungi lemak meskipun jenisnya berbeza.

Sumber: mStar