Kalau Korang Suka Tengok 'Squid Game', Korang Wajib Tengok 5 Filem & Siri Ni!

GAYA HIDUP
October 13, 2021 - 09:58 PM


Drama Korea Selatan, 'Squid Game' yang telahpun menjadi siri paling berjaya di Netflix, dengan jumlah peminat sebanyak 111 juta sejak ianya dilancarkan tidak sampai sebulan yang lalu. 

Siri mengisahkan sejumlah besar pemain yang bertanding di dalam sebuah permainan yang membolehkan mereka memenangi jumlah wang yang besar. 

Kesemua peserta di dalam permainan tersebut datang daripada latar belakang yang dibelenggu masalah kewangan, dan hanya akan ada seorang pemenang, manakala yang selebihnya akan dihukum mati. 

Jalan cerita yang unik tersebut telah membuat ramai orang dari lebih 80 negara jatuh cinta akan Squid Game, dan kalau korang salah sorang daripada 111 juta peminat seluruh dunia itu, korang patut tengok 5 filem & siri yang mempunyai tema seakan-akan Squid Game. 

1. Snowpiercer

Sebuah lagi produksi Korea Selatan berasaskan kepada sebuah novel penulis Perancis, 'Snowpiercer' menceritakan tentang sekumpulan manusia yang terpaksa hidup dalam sebuah keretapi dinamakan 'Snowpiercer' - ekoran iklim dunia yang sejuk dan bersalji.

Setiap gerabak keretapi itu diasingkan mengikut kelas masyarakat, dengan golongan elit diberikan gerabak mewah dan lapang - sementara orang kebanyakan terpaksa berhimpit dalam gerabak gelap dan kosong.

2. As the Gods Will

Filem arahan Takashi Miike, pengarah legenda dari Jepun yang cukup terkenal dengan filem-filem anehnya adalah filem paling mirip dengan apa yang dipaparkan dalam Squid Game.

Meletakkan masalah sosial serta ketagihan permainan video di kalangan pelajar sekolah sebagai isu yang perlu diperbaiki, satu pihak misteri mula mengaturkan permainan-permainan kanak-kanak tradisional di sekolah
melibatkan pelajar sekolah. Mana-mana pelajar yang gagal, akan dibunuh.

3. Alice in Borderland



Sebuah siri TV terbitan Jepun, 'Imawa no Kuno no Alice' atau 'Alice in Borderland' adalah garapan yang diambil dari sebuah komik berjudul sama. Tiga sahabat baik bertindak melakukan kekacauan di tengah bandar Tokyo,
sehingga dikejar polis.

Mereka bertindak melarikan diri sebelum bersembunyi dalam sebuah tandas. Ketika bersembunyi, bekalan elektrik terputus dan suasana Tokyo yang sebelum itu hingar bingar - bertukar menjadi sunyi.

4. The Incite Mill

'Inshite Miru: 7-kakan no desu gemu' atau 'The Incite Mill: 7-Day Death Game', dipendekkan kepada 'The Incite Mill' untuk pasaran antarabangsa, memaparkan 10 anak muda Jepun yang ditawarkan peluang pekerjaan bergaji mewah - asalkan mereka sanggup menyertai sebuah pertandingan 7 hari di sebuah kompleks bernama Ankikan.

Setiap peserta hadir berhajatkan tawaran tersebut, yang menjanjikan pekerjaan bergaji RM5,150 sejam tanpa perlu mengambil kira kelulusan atau pengalaman kerja sebelum itu.

5. Battle Royale

Tak sah untuk mana-mana peminat siri Squid Game untuk tidak mengalami besar sendiri filem 'Battle Royale.' Filem ini dikatakan memainkan peranan besar mewujudkan genre filem dan siri TV yang semakin popular sekarang, mengadunkan masalah sosial masyarakat dan sistem permainan yang mempertaruhkan nyawa ke dalam jalan cerita.

'Battle Royale' memaparkan salah satu daripada kumpulan pelajar yang terpilih dalam program pemulihan akhlak remaja Jepun, yang dianjurkan sendiri oleh kerajaan mereka. Ekoran kebimbangan generasi tua terhadap ketidaktentuan hala tuju dan masalah disiplin anak muda, 'Program BR' dimulakan yang membenarkan mana-mana kelas dalam sekolah terpilih untuk dihantar ke sebuah pulau.

Di pulau tersebut, setiap pelajar diberikan bekalan peribadi dan bebas melakukan apa saja yang mereka mahukan untuk menjadi satu-satunya pelajar yang hidup pada penghujung program tersebut.

Dari segi lakonan dan jalan ceritanya, filem ini kurang realistik berbanding 'Squid Game' disebabkan watak-wataknya yang kadangkala terlalu kartun. Tetapi situasi dan konsep yang dipaparkan filem ini terus menjadi ikutan pengkarya filem sehingga kini.

Sumber: Iluminasi