"Kamu Pasti Akan Dirindukan" Isteri Pemain Dram Noah Meninggal Dunia

GAYA HIDUP
October 18, 2022 - 06:07 PM


Pemain dram tambahan Noah, Rio Alief, 30, kehilangan isteri tercinta Clerence Cynthia Audry, 28, yang meninggal dunia disebabkan kanser, hari ini.

Clerence menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) dan dikebumikan di TPU Jombang, Tangerang Selatan, di sini.

Pemain keyboard Noah, David Albert berkongsi mengenai berita sedih itu di Instagram.

"Kamu pasti akan dirindukan, Clere, wanita kuat, isteri hebat. Istirehat dengan tenang," katanya.

Manakala, Rio menukar gambar profilnya di Instagram dengan gambar kosong berwarna hitam tanda berduka atas pemergian isterinya itu.

Terdahulu, dia sempat berkongsi beberapa foto di Instagram Story (IGS) saat berada di sisi Clerence. Ia termasuk fotonya menggenggam tangan isterinya semalam.

Rio juga memuat naik video kenangan mereka bersama di IGS dengan kapsyen yang ringkas namun cukup menyentuh hati.

"Mahu kemana sii Clerence," katanya. Pasangan itu berkahwin pada 6 November 2020, manakala resepsinya diadakan pada Jun tahun lalu. Mereka sepatutnya menyambut ulang tahun kedua berkahwin pada bulan depan.

Sumber: Harian Metro