Kembali Selepas 3 Tahun! - Kembara Mahkota Johor 2023 Bermula Sabtu Ini

GAYA HIDUP
August 01, 2023 - 12:16 PM


Selepas hampir tiga tahun Kembara Mahkota Johor (KMJ) tidak diadakan berikutan pandemik Covid-19, acara tahunan yang dinanti-nantikan 'Bangsa Johor' itu bakal membuka tirai Ogos ini.

Kali terakhir KMJ diadakan pada tahun 2019 dan kini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Keluarga Diraja Johor akan kembali menjelajah ke 10 daerah bertemu rakyat. Menerusi sebuah post di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada petang Isnin, KMJ pada kali ini akan berlangsung bermula Sabtu sehingga Selasa depan.

"Kali terakhir KMJ diadakan pada 2019. KMJ 2023 akan berlangsung bermula 5 hingga 8 Ogos ini, bakal menyaksikan jelajah pacuan empat roda oleh Keluarga Diraja Johor dengan perjalanan hampir 800 kilometer.

"Ikuti perkembangan dan aktiviti jelajah KMJ 2023 menerusi laman media sosial Keluarga Diraja Johor," menurut hantaran itu.

Kembara Mahkota Johor atau juga dikenali sebagai KMJ merupakan program bersama rakyat yang diterajui oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim bertujuan mendekatkan hubungan keluarga Diraja Johor bersama rakyat. Acara yang dibuat secara tahunan sejak 2001 ini menggunakan motosikal berkuasa tinggi, kereta pacuan empat roda dan juga bot bagi mengelilingi 10 daerah di Johor.

Pada edisi lalu, Sultan Johor menunggang motosikal berkuasa tinggi 'Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike' dan bertemu rakyat Johor di sepanjang perjalanan menjelajahi kesemua daerah di negeri ini.

Sumber berita : Sinar Harian

Destination: