Kualiti Air Sungai Seine di Paris Semakin Teruk Disebabkan Hujan Lebat?

GAYA HIDUP
July 31, 2024 - 08:12 PM


Beberapa jam sebelum bermulanya acara triathlon lelaki Sukan Olimpik terpaksa ditunda ekoran kualiti air di Sungai Seine tidak selamat.

Penundaan itu memberi tamparan hebat kepada Perancis selaku tuan rumah temasya terbesar dunia itu selepas ujian kualiti air menyaksikan ia tidak sesuai dijalankan.

Pihak penganjur berkata, acara lelaki akan ditunda selama 24 jam dan dijadual berlangsung selepas berakhirnya acara wanita, esok.

Kenyataan bersama dari Paris 2024 dan Triatlon Dunia menyalahkan pencemaran yang berlebihan adalah berpunca daripada hujan lebat yang melanda ibu negara Perancis berkenaan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

"Paris 2024 dan Triathlon Dunia mengulangi pendirian bahawa keutamaan mereka adalah kesihatan para atlet," kata kenyataan itu.

"Hasil ujian dari Seine hari ini mendapati tahap kualiti air yang tidak memberikan jaminan mencukupi untuk membolehkan acara itu diadakan.

"Malangnya, kejadian meteorologi di luar kawalan kami... (untuk) boleh mengubah kualiti air dan ia memaksa kami menjadualkan semula acara atas sebab kesihatan."

Sebelum ini, pihak penganjur sudah membatalkan sesi latihan di Seine pada Ahad dan Isnin kerana qualiti air berada di tahap tidak selamat yang berpunca dari cuaca hujan minggu lalu.

Acara triatlon ditangguh ekoran pencemaran Sungai Seine

Keputusan dibuat pada jam 4:15 pagi waktu tempatan (10.15 pagi waktu Malaysia) -- lebih awal daripada waktu mula yang dijadualkan pada jam 8 pagi (4 petang waktu Malaysia).

Acara lelaki kini akan diadakan esok pada 10.45 pagi waktu tempatan (6.45 petang), sejurus selepas acara wanita pada 8 pagi (4 petang)

Paris dilaporkan membelanjakan ASD2.47 bilion untuk membersihkan sungai Seine sebagai salah satu aspek warisan utama Sukan Olimpik tahun ini. Tiga kawasan renang awam ditetapkan untuk dibuka kepada orang ramai selepas temasya itu. Datuk Bandar Paris bulan lalu sendiri telah berenang di Seine untuk membuktikan ia selamat.

Dua hari sesi latihan di sungai itu dibatalkan kerana hujan baru-baru ini - termasuk semasa Majlis Perasmian, yang seterusnya mencemarkan Seine dengan kumbahan mentah dan meningkatkan kelajuan arus.

Pegawai telah menguji sungai setiap 12 jam -- pada pukul 3 pagi dan 3 petang setiap hari, dengan keputusan ujian kembali 12 jam kemudian.

Berdasarkan keputusan petang semalam -- termasuk tahap bakteria E.Coli -- perlumbaan terpaksa ditangguhkan pada saat-saat akhir.