Lepas Bendera Putih, Muncul Pula Bendera Merah. Tapi Ni Untuk Bantu Haiwan Peliharaan Ya!

GAYA HIDUP
July 01, 2021 - 07:10 PM


Selepas wujudnya Kempen #BenderaPutih untuk orang ramai yang terputus bekalan makanan di fasa pandemik ini, kini muncul satu lagi warna bendera yang turut mewakili satu lagi jenis bantuan.

Bendera yang dmaksudkan adalah kempen #BenderaMerah yang diwujudkan khusus bagi memastikan kelangsungan hidup dan nasib kucing serta anjing peliharaan yang terkesan sepanjang tempoh negara dilanda pandemik.

Kempen yang diasaskan oleh Persatuan Haiwan Malaysia itu adalah susulan berlakunya banyak pembuangan kucing dan anjing peliharaan ke jalanan sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh itu, Presidennya, Arie Dwi Andika menyeru pemilik haiwan peliharaan yang memerlukan bantuan agar menaikkan bendera merah sebagai isyarat untuk mendapatkan bekalan makanan bagi haiwan peliharaan mereka.

“Hal itu berlaku kerana pemilik sudah tidak mampu untuk terus memelihara haiwan tersebut susulan faktor ekonomi yang terjejas dan akibatnya banyak kucing serta anjing terpaksa dihumban ke jalanan.

“Amat menyedihkan apabila ‘muka baharu’ di jalanan berada dalam keadaan takut dan kekok menyesuaikan diri dengan risiko ancaman kebuluran, serangan dan pergaduhan selain tidak mengerti untuk bermandiri mencari makan dan akhirnya mengalami kecederaan, penyakit malah kematian,” katanya.

Sumber: KOSMO ONLINE

Destination: