Seekor Boleh Cecah Harga Sebuah Rumah. Ini 10 Baka Kucing Termahal Di Dunia!

GAYA HIDUP
November 26, 2020 - 07:29 PM

Kucing sememangnya antara jenis haiwan peliharaan yang paling ramai disukai oleh manusia seluruh dunia.

Selain merupakan haiwan kesayangan Rasulullah SAW, si bulus yang comel dan gebu ini juga sebenarnya boleh menjadi peneman terbaik manusia -- selain dikatakan bermain dengan kucing mampu mengurangkan tekanan atau menjadi terapi kepada mereka yang sedang mempunyai masalah.

Tidak kiralah sama ada kucing peliharaan atau kucing jalanan, semuanya adalah haiwan yang perlu kita sayangi dan wajar untuk dilayan dengan baik serta penuh kasih-sayang.

Namun, tahukah anda bahawa di dunia ini sebenarnya terdapat bermacam-macam baka atau jenis kucing malah ada yang jarang ditemui serta harganya boleh mencecah belasan ribu bahkan ratusan ribu ringgit bergantung kepada keistimewaan sesebuah baka si bulus.

Jom kita tengok 10 senarai baka kucing yang termahal di dunia!

1 - ASHERA : RM64,000 - RM426,000

Baka kucing termahal di dunia adalah Ashera di mana ia merupakan kacukan antara kucing serval Afrika, kucing Asean Leopard dan kucing domestik biasa. Harga seekor kucing Ashera ni sampai boleh beli sebiji kereta atau sebuah rumah! Punyalah mahal!

Ia mempunyai karektar kucing yang sangat bijak, setia dan manja. Namun kesahihan dan ketulenan baka ini dipertikaikan kerana satu-satunya kucing yang diuji DNA-nya terbukti sebagai baka Savannah.

2 - SAVANNAH : RM6,400 - RM212,000

Baka Savannah juga merupakan hasil hybrid atau campuran antara baka domestik dan baka serval.

Baka ini sangat bijak dan pintar malah kesetiaan kucing ini juga tidak kurang hebatnya berbanding seekor anjing. 

Pada tahun 2001, baka ini diterima oleh The International Cat Association sebagai baka berdaftar yang baru dan diiktiraf sebagai baka kejohanan.

3 - BENGAL : RM4,300 - RM106,000

Sekali pandang kucing jenis Bengal ini seakan seekor harimau kumbang. Bengal merupakan baka hybrid yang terhasil daripada campuran baka domestik dan kucing Asian Leopard, Prionailurus bengalensis.

Harganya yang terlalu mahal membuatkan baka kucing ini melambangkan tahap kekayaan seseorang yang memeliharanya.

4 - ALLERCA HYPOALLERGENIC : RM25,500

Namanya agak panjang dan pelik, namun terdapat sedikit keistimewaan terhadap baka ini di mana ia merupakan hasil kepada pelbagai ujikaji genetik.

Para saintis yang mengkaji untuk menghasilkan baka ini sebenarnya cuba mencari formula bagi mematikan genetik yang menyebabkan alergi kepada sesetengah orang.

5 - PARSI : RM2,100 - RM23,500

Parsi antara kucing yang paling disukai ramai kerana rupanya yang sangat comel dan bulunya yang gebu. Tambah membuatkan orang geram apabila melihat mukanya yang bulat dan muncungnya yang pendek.

Baka ini juga dikenali sebagai Persian Longhair. Ia juga popular sebagai kucing Shirazi di Iran dan dipanggil kucing Iran di negara Timur Tengah.

Kucing ini dibiakkan oleh orang Inggeris di Amerika selepas Perang Dunia Kedua. Pecahan baka bagi kucing Parsi adalah Exotic Shorthair dan juga Himalayan.

6 - PETERBALD : RM5,000 - RM20,000

Baka kucing ini berasal dari Rusia dan kelihatan seolah-olah seperti Sphynx. Ia merupakan hasil kacukan daripada baka Juara Dunia kategori betina Oriental Shorthair dengan baka Donskoy.

Ia sangat bijak, bertenaga, bersifat ingin tahu, mempunyai badan yang ramping namun berotot. Mereka juga tiada masalah untuk hidup bersama haiwan peliharaan lain.

7 - RUSSIAN BLUE : RM1,700 - RM12,800

Baka kucing ini juga berasal dari Rusia dan terkenal dengan sifatnya yang suka bermain, ingin tahu serta pintar.

Mereka juga mudah untuk membentuk hubungan yang rapat dengan pemilik mereka dan disukai disebabkan oleh personaliti, kecantikan dan warna mereka.

8 - SPHYNX : RM1,280 - RM12,800

Mungkin bagi sesetengah orang kucing ini kelihatan sangat hodoh dan menakutkan -- namun ia merupakan salah satu baka yang paling terkenal di dunia.

Ramai selebriti Hollywood yang memiliki baka kucing seperti ini termasuklah Lady Gaga, Jennifer Aniston dan Steven Tyler.

Ia mempunyai rupa yang unik dan sangat mudah untuk dikenali kerana tidak berbulu. Tetapi ia memerlukan penjagaan rapi dan khusus seperti memandikannya seminggu sekali atau dua minggu sekali. 

9 - SCOTTISH FOLD : RM850 - RM12,800

Tengok sahaja boleh tahu bahawa baka jenis ini sangat unik. Mana tidaknya ia mempunyai baka genetik dominan yang temutasi memberi kesan kepada tulang rawan di sepanjang badan menyebabkan telinganya  seperti terlipat ke depan.

Sebelum ia mendapat nama Scottish Fold pada 1966, baka ini dipanggil sebagai "lop-eared" atau "lops" bersempena arnab yang mempunyai telinga serupa.

Terdapat beberapa pecahan baka jenis ini yang dikenali sebagai Highland Fold, Scottish Fold Longhair, Longhair Fold dan Coupari.

10 - BRITISH SHORTHAIR : RM2,000 - RM6,500

Baka kucing ini dikatakan berasal dari Eropah dan diimport ke Britain ketika zaman penjajahan Rom serta merupakan antara baka yang tertua di dunia.

Ia mempunyai keunikan pada badannya yang montel, berbulu lebat serta muka yang lebar. 

Warna yang paling lazim bagi kucing baka British Shorthair ini adalah 'British Blue', mata berwarna tembaga (seakan oren) dan mempunyai ekor sederhana panjang.

Sumber: Iluminasi

Destination: 
Artikel berkaitan