"Makan Selepas Solat Hari Raya" - Ini 8 Amalan Sunat Raya Aidiladha Yang Korang Boleh Lakukan

GAYA HIDUP
June 27, 2023 - 03:21 PM


Hari raya Aidiladha merupakan hari yang dinantikan oleh umat Islam selain dari raya Aidilfitri dan bulan Ramadan. Hari ini sinonim dengan hari untuk keluarga berkumpul.

Selain itu, tahukah korang banyak amalan sunat yang boleh dilakukan sepanjang raya Aidiladha?

Umat Islam disunatkan berusaha membuat kebaikan dan amal kebajikan pada permulaan Hari Raya Aidiladha iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah dengan mengingati Allah.

Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud, "Tiada hari-hari selain hari-hari ini untuk amalan kebajikan yang lebih disukai Allah, iaitu hari-hari 10 pertama bulan Zulhijjah."

Ini 8 amalan sunat hari raya Aidiladha yang boleh korang lakukan:

1. Bertakbir

Takbir hari raya Aidiladha adalah bermula dari Hari Arafah sehingga sembahyang Asar hari Tasyriq terakhir. Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak mengerjakan haji untuk bertakbir bermula gelincir matahari iaitu masuk waktu Zohor sehingga terbitnya fajar sadiq (masuk waktu Subuh 13 Zulhijjah).

2. Berjaga Malam

Umat Islam disunatkan menghidupkan malam hari raya melalui solat-solat sunat, bertasbih, istighfar, membaca al-Quran, berzikir dan bertakbir.

Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan atau beribadah malam Hari Raya Fitrah dan malam Hari Raya Korban dengan mengharapkan keredhaan Allah, nescaya tidak mati hatinya pada hari yang mati semua hati."

Satu perkara yang umat Islam seharusnya tidak melepaskan peluang tatkala sibuk menyiapkan persiapan Hari Raya bahawa doa pada malam kedua-dua Hari Raya adalah mustajab.

3. Mandi Sunat Hari Raya

Disunatkan mandi selepas solat subuh atau selepas fajar, memakai wangian (bagi kaum lelaki), mencuci mulut dan gigi serta memakai pakaian yang baik, seperti perkara-perkara sunat untuk kaum lelaki pada hari Jumaat sebagai tanda menzahirkan kesyukuran ke atas nikmat yang dikurniakan Allah.

4. Tidak Memotong Kuku Dan Mencukur Rambut

Apabila sudah masuk 1 Zulhijjah, maka disunatkan bagi orang yang ingin berkorban untuk tidak memotong rambut dan memotong kuku sehingga selesai menyembelih korbannya. Hal ini berpandukan hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban" (Hadis Riwayat Muslim : 1977)

Menurut Imam Nawawi, ia disunatkan untuk tidak berbuat demikian supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.

5. Pergi Ke Masjid Lebih Awal

Seperti Hari Raya Aidilfitri, umat Islam digalakkan untuk ke masjid untuk melaksanakan solat sunat hari raya seterusnya mendengar khutbah.

Para sahabat dan golongan tabi'in berbeza pendapat tentang keharusan wanita pergi ke masjid mendirikan sembahyang sunat Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha). Saiyidina Abu Bakar, Ali, Ibnu Umar dan yang lain berpendapat kaum wanita dibolehkan dan ada juga ulama yang tidak mengharuskannya.

Menurut Imam Nawawi, sunat bagi wanita pergi masjid mendirikan solat sunat hari raya jika tiada masalah seperti kedatangan haid mahupun nifas. Manakala wanita yang berikut cukup sekadar membaca zikir tanpa berada di masjid.

6. Makan Selepas Solat Hari Raya Aidiladha 

Mesti kita terbiasa dengan amalan pada pagi Raya Aidilfitri di mana kita dijamu dengan makanan sebelum pergi ke masjid untuk solat sunat raya.

Berbeza dengan Aidilfitri, hari raya Aidiladha sunat melewatkan makan sehingga selesai sembahyang hari raya berdasarkan haids dari Buraidah yang bermaksud, "Bahawa Rasulullah SAW tidak keluar pada Hari Raya Fitrah sehinggalah Baginda makan dahulu dan pada Hari Raya Korban, Baginda tidak makan sehinggalah Baginda bersembahyang dahulu."

7. Bersedekah

Pada hari raya disunatkan memurahkan rezeki kepada kaum kerabat atau saudara-mara dan perbanyakkan sedekah lebih daripada biasa mengikut kemampuan.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj, Ayat 28 yang bermaksud, "Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir".

Jangan kedekut atau berasa berat hati untuk bersedekah kerana yakinlah setiap pemberian yang kita keluarkan itu mempunyai nilai ganjaran pahala yang tinggi.

8. Ceria Di Hari Raya

Sememangnya kegembiraan yang digambarkan sewaktu hari raya menjadi hari untuk berkumpul semua keluarga dan sanak saudara.

Memberi senyuman dan menunjukkan kegembiraan kepada orang-orang beriman yang ditemui dan menziarahi keluarga serta sahabat handai supaya hubungan silaturrahim dan kasih mesra dapat dieratkan.

Kesemua amalan ini kita mesti mampu amalkan kerana ia sudah menjadi asas dalam kehidupan kita sebagai seorang manusia dan sebagai seorang Muslim. 

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan & Utusan TV